Malaysia Liga Super Malaysia

Skuad Tok Gajah berdepan peluang keemasan untuk memintas JDT di pentas Liga Super

Pahang tekad untuk terus meletakkan tekanan di atas bahu pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim apabila mereka turun berdepan dengan Kuala Lumpur di Stadium KLFA malam ini.

Skuad Tok Gajah mungkin mampu memintas JDT pada hujung minggu ini, kerana juara bertahan Liga Super itu berdepan dengan cabaran getir. Pasukan yang berada di tangga ke-3, PKNS FC akan berkunjung ke Larkin dan sekiranya mereka berjaya mencipta kejutan, kemenangan ke atas Kuala Lumpur akan melonjakkan Pahang ke tangga pertama.

“Kami perlu mencatat kemenangan jika mahu bersaing di persada liga memandangkan hanya dua mata dibezakan dengan Harimau Selatan.

“Oleh itu, kembalinya saingan Liga Super memerlukan komitmen tinggi daripada rakan sepasukan untuk meraih kemenangan ke atas Kuala Lumpur. “Namun, kami tidak boleh memandang mudah perlawanan berkenaan kerana tuan rumah sudah pasti mahu mengutip tiga mata di tempat sendiri,” kata bintang Pahang, Faisal Rosli kepada Sinar Harian.

Keputusan perlawanan Liga Super hujung minggu ini juga akan sedikit sebanyak memberi impak terhadap pertembungan suku akhir kedua Piala FA di antara Johor DT dan Pahang minggu depan. Pada pusingan pertama suku akhir tersebut, skuad Tok Gajah berjaya mengikat Johor DT 0-0 di Stadium Darul Makmuar.