Malaysia Liga Super Malaysia

KLFA bakal pertaruhkan penjaga gol muda menentang Pahang

Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel akan mempertaruhkan penjaga gol berusia 21 tahun, Khatul Anuar Abdul Jalil bagi menghadapi Pahang dalam saingan Liga Super, Ahad ini.

Pengendali dari Brazil itu membuat keputusan sedemikian selepas tidak berpuas hati dengan prestasi penjaga gol utama, Kamarul Effendi Abdul Rahim terutamanya ketika perlawanan suku akhir pertama Piala FA sebelum ini.

Katanya, bekas penjaga gol Harimau Muda C itu sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol utama meskipun melepaskan satu gol ketika tewas 3-0 kepada Selangor selepas masuk menggantikan Kamarul Effendi  dalam perlawanan tersebut minggu lalu.

“Khatul masuk membuat penampilan pertama dalam pertembungan jiran setempat yang istimewa.

“Dia bermain hebat dan saya sangat gembira dengan prestasinya. Dia lakukan seperti dirancang dalam latihan,” katanya kepada Stadium Astro.

Khatul Anuar hanya sekadar penjaga gawang untuk pasukan Piala Presiden Kuala Lumpur sebelum ini, namun tahun ini beliau menjadi pilihan ketiga dalam pasukan utama musim ini.

Dengan penjaga gol pilihan kedua, Solihin Mamat yang masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan, Khatul Anuar menganggap inilah peluangnya untuk menunjukkan keupayaannya dalam misi mempertahankan gawang daripada dibolosi pemain Pahang.

“Jurulatih sudah memberikan kepercayaan kepada saya. Jadi saya perlu tunjukkan semula apa yang dinilai sebelum ini.

“Saya akan buat yang terbaik dalam aksi menentang Pahang. Dalam minggu ini, kami memang membuat persediaan rapi dalam aspek pertahanan. Saya harap ia akan berjalan lancar,” katanya.