Malaysia Liga Super Malaysia

Issey Nakajima teruja dengan barisan pemain Pahang, mahu buktikan diri kepada pihak pengurusan

Bekas pemain import Terengganu, Issey Morgan Nakajima-Farran bertekad untuk kembali dalam saingan Liga Super Malaysia ketika jendela perpindahan kedua dibuka bulan depan dengan menjalani tempoh percubaan bersama Pahang ketika ini.

Pemain antarabangsa Kanada itu cukup memahami tindakan pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) serta jurulatih Dollah Salleh yang mahu menilai dahulu prestasi terkininya selepas lama tidak beraksi dalam sebarang aksi kompetitif sejak Disember tahun lalu.

“Saya faham kontrak saya berakhir pada bulan Disember tahun lepas. Sudah tentu mereka mahu mengetahui keadaan saya dalam latihan. Sebelum ini saya sudah pun berlatih dengan pasukan divisyen ketiga di Sepanyol.

“Tetapi saya kembali ke Malaysia apabila Pahang memanggil saya beberapa minggu lalu dan bertanya adakah saya mahu datang ke sini,” katanya kepada Stadium Astro.

Tambah Issey, meskipun mendapat tawaran beraksi dengan kelab dari negara lain, urusannya di Malaysia belum selesai dan masih mempunyai impian dalam kancah bola sepak tempatan.

Beliau sendiri terkilan selepas khidmatnya bersama Terengganu berakhir begitu sahaja selepas membantu pasukan itu layak ke Liga Super musim ini.

“Saya benar-benar mahu memenangi sesuatu di Malaysia. Saya rasa ketika di Terengganu, kami boleh lakukannya pada tahun ini tetapi saya hanya mendapat surat selamat tinggal.

“Namun kini apabila saya berada di Pahang, mereka turut berkongsi tentang perancangan pasukan dan saya teruja dengan pemain yang mereka ada,” katanya.