Malaysia Liga Super Malaysia

Kelantan pasukan paling teruk dalam karier saya – Bruno Lopes

Bekas pemain import Kelantan, Bruno Lopes menyifatkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebagai pasukan yang memiliki pengurusan paling teruk sepanjang kerjayanya.

Pemain yang berasal dari Brazil itu cukup kesal dengan tindakan KAFA yang masih belum membayar sebarang bentuk pampasan kepadanya meskipun sudah bersetuju untuk menamatkan kontraknya lebih awal selepas mengalami kecederaan jangka panjang.

“Mereka belum lagi membayar pampasan kepada saya. Apabila saya cuba menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp, tiada sebarang maklum balas. Saya ada keluarga dan anak.

“Saya tidak tahu apa kedudukan saya dan juga pampasan yang dijanjikan itu. Tiada apa-apa perkembangan. Kelantan adalah pasukan dengan organisasi paling teruk yang pernah saya jumpa.

“Kelab amatur di Brazil pun memiliki struktur organisasi yang lebih baik dan tersusun berbanding mereka. Sudahlah mereka tidak membantu saya dengan proses pemulihan, yang mereka tahu hanya sekadar untuk menamatkan kontrak saya sahaja,” katanya kepada Berita Harian.

Bruno Lopes merupakan salah seorang pemain yang digugurkan oleh KAFA dalam saingan Liga Super musim ini termasuk pemain tempatan S. Veenod, Rozaimi Azwar dan Faizol Nazlin Sayuti.

Bukan itu sahaja, enam pemain lain turut digugurkan termasuk pemain import Indonesia, Ferdinand Sinaga; penyerang Norfarhan Muhamad; Sukri Hamid, Shafiq Rahman; bekas pemain Negeri Sembilan, Tengku Qayyum Ubaidillah dan Hattaphon Bun An.

Walaubagaimanapun, Lopes tidak menolak untuk beraksi semula dalam saingan bola sepak tempatan.

“Buat masa ini, fokus saya adalah untuk sembuh sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami dan kembali mendapatkan rentak permainan.

“Saya bersedia untuk beraksi di Malaysia tetapi biarlah bersama pasukan yang memiliki struktur organisasi yang lebih baik,” katanya.