Malaysia Liga Super Malaysia

Kelantan lepas empat lagi pemain atas masalah kewangan

Apa agaknya nasib Kelantan pada musim ini?

Selepas melepaskan beberapa pemain seperti pemain import Bruno Lopes, Ferdinand Sinaga serta Norfarhan Muhamad yang ke D’AR Wanderers FC, Kelantan sah melepaskan tiga lagi pemain tempatan bagi baki saingan liga musim ini.

Pemain-pemain tempatan yang dilepaskan adalah S. Veenod, Rozaimi Anwar dan Nazlin Sayuti.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan, tindakan itu diambil selepas beberapa faktor diambil kira.

“Ya, kami lepaskan mereka dan meminta mereka mencari pasukan baharu menjelang jendela perpindahan kedua bulan depan.

“Kami membuat keputusan ini berdasarkan beberapa faktor… banyak perkara kami teliti sebelum memutuskannya dan ia wajar dilakukan demi masa depan pasukan,” katanya seperti dipetik daripada laporan Harian Metro.

Apa yang melanda Kelantan ini agak merisaukan. Pasukan yang suatu ketika dahulu menjulang treble kini bergelut untuk membayar gaji dan pampasan kepada bekas pemain dan pengurus mereka.

Semua yang terjadi kepada Kelantan ini boleh menjadi contoh kepada pasukan-pasukan lain untuk menjana kewangan secara konsisten serta tidak berbelanja melebihi pendapatan yang ada.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani mengambil tindakan tepat dengan cuba mengecilkan skuad bagi menampung kewangan yang ada buat masa ini.

Mungkin jika Kelantan mahu kembali menjadi gergasi dalam bolasepak Malaysia seperti sebelum ini, mereka perlu bermula kembali dari awal seperti dahulu. Mungkin ianya pedih buat penyokong Kelantan, tetapi itulah yang terbaik buat masa ini.