Luar Negara Eropah

Anthony Martial, senjata Manchester United untuk jendela perpindahan akan datang

Minit beraksi yang berkurangan dalam dua musim terakhir membuatkan masa depan Anthony Martial bersama Manchester United menjadi tanda tanya. Beberapa media sukan Eropah melaporkan Martial bakal menjadi pertaruhan dalam jendela perpindahan musim panas nanti, sama ada menerusi penjualan atau pertukaran.

Jangkaan pertama adalah Martial dan Paul Pogba bakal menjadi korban pertukaran untuk membawa masuk Neymar dari Paris Saint-Germain (PSG). Neymar sudah dikaitkan ke Old Trafford sejak dulu tetapi tetap tidak menyertai United. Namun, kini terdapat kemungkinan Red Devils bakal mendapatkan khidmat pemain termahal dunia itu.

Martial dan Pogba merupakan pemain yang dikhabarkan tidak begitu serasi di United atas alasan masing-masing. Justeru, menukarkan dua pemain itu dengan Neymar adalah satu langkah yang bagus tatkala nilai pasarannya cukup tinggi. Martial dianggarkan berjumlah EUR65 juta sementara Pogba dengan EUR90 juta.

Kemungkinan yang kedua, Martial akan digandingkan bersama Matteo Darmian untuk memulakan rundingan dengan Juventus bagi mendapatkan Alex Sandro. Bek kiri Juve itu menjadi sasaran United sejak musim lalu dan melihat kepada situasi terdesak untuk membawa masuk pemain bertaraf dunia di pertahanan kiri, Martial dilihat sebagai “senjata” ampuh United bagi menarik perhatian The Old Lady.

Kemungkinan ketiga adalah menukarkan Martial dengan Gareth Bale. Pemain dari Wales itu sering digosipkan untuk menyertai united dan melihat situasinya yang tidak menentu bersama Real Madrid, tentunya musim panas ini adalah detik terbaik untuk Red Devils mendapatkannya.

Bagaimanapun, Madrid sudah pasti tidak mahu menjual Bale dengan harga murah sambil United berkira-kira untuk mengeluarkan dana yang besar. Jadi, menukarkan Martial dengan tambahan sejumlah wang mungkin menjadi penyelesaian yang tepat, menurut Don Balon.

Selain itu, Martial juga mampu memberikan wang besar buat United menerusi penjualan langsung. Sehingga kini, belum ada pihak yang berminat mendapatkan Martial dengan wang yang tinggi tetapi pada usia 22 tahun, tentunya tidak sukar mencari pasukan yang berminat untuknya.

Pada musim 2017/18, Martial telah tampil dalam 40 penampilan bersama United, sebahagian besarnya beraksi sebagai pemain gantian atau dimasukkan pada 20 minit terakhir. Daripada jumlah perlawanan itu, dia menjaringkan 11 gol dan 10 bantuan jaringan dalam semua kejohanan.