Berita Asia

Rasmi: SportsFix TV kembali bawakan siaran Liga 1 Indonesia di Malaysia

Selama ini, masalah yang dihadapi oleh peminat bolasepak Indonesia di Malaysia adalah kepayahan untuk menyaksikan siaran Liga 1 Indonesia. Namun, ia telah berakhir sejak saingan pada musim 2017. SportsFix TV, satu laman streaming dari Malaysia telah menyediakan siaran langsung Liga 1 yang boleh ditonton dari seluruh ASEAN. Lebih menarik, mereka juga akan meneruskan siaran itu bagi tahun 2018.

Siaran itu boleh didapati menerusi laman rasmi, sportsfix.tv. Wujudnya pengumuman ini bermakna setiap peminat tegar bola sepak dari Indonesia tidak akan berdepan apa-apa masalah untuk menyaksikan persembahan pasukan kegemaran mereka. Apa yang menambahkan kegembiraan mereka adalah SportsFix juga akan menayangkan aksi Liga 2.

SportsFix sendiri sudah mula membuktikan status sebagai antara laman yang kerap menjadi pilihan penonton di Malaysia. Selain bola sepak, mereka juga menawarkan aksi Liga Bola Keranjang Filipina, Kriket Pakistan serta Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA). Untuk bola sepak, mereka juga menawarkan perlawanan Serie A, Liga Super China, Liga Perdana Thailand, Liga Korea serta beberapa perlawanan antarabangsa.

Langkah itu diambil oleh SportsFix selepas mengambil kira faktor kebanjiran warga Indonesia di Malaysia, sehingga membuatkan LIB (Liga Indonesia Baru), SportsFix dan PT menjalinkan kerjasama untuk menayangkan aksi Liga 1 2018. Tambahan pula, kebanyakan penduduk Malaysia sangat arif dengan keadaan bola sepak dalam negara mereka.

Untuk melanggan, terdapat empat pilihan yang hadir daripada tiga pembekal berbeza. Celcom Axiata menyediakan dua pakej harga RM10 untuk langganan selama sebulan dan RM5 untuk aksi selama seminggu. Buat pengguna Digi, pakej langganan selama sebulan yang ditawarkan sama dengan Celcom tetapi untuk pakej satu perlawanan, mereka menawarkan harga RM1.

Liga 1 2018 akan bermula tidak lama lagi dan tentunya warga Indonesia yang berada di Malaysia tidak sabar untuk menikmati siarannya. Mujur SportsFix dapat memenuhi kehendak mereka.