Berita Malaysia

Harimau Malaya gagal tunjuk taring di Bukit Jalil, hanya sekadar seri 2-2 menentang Mongolia

Tan Cheng Hoe tidak berjaya melakar kemenangan dalam perlawanan pertamanya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya selepas mereka sekadar seri 2-2 menentang Mongolia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Kesebelasan pertama Malaysia dipenuhi dengan 9 pemain Johor Darul Ta’zim, termasuk bekas pemain Levante, Natxo Insa, yang membuat penampilan pertama untuk skuad Harimau Malaya sejak menjadi pemain naturalisasi pada bulan Jun lepas.

Walaupun mendominasi tempo perlawanan pada babak pertama, anak buah Cheng Hoe mengambil masa 30 minit untuk membuka tirai jaringan. Kapten Mongolia, Turbat Danginaa menjaringkan gol sendiri, selepas hantaran yang cukup cantik daripada Safawi Rasid di sayap kanan.

Namun, Mongolia berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42, selepas kesilapan di bahagian pertahanan Malaysia, memberi peluang kepada Enkhbileg Purevdorj untuk menewakan Haziq Nadzli dengan percubaan yang cantik.

Akhyar Rashid, yang dibawa masuk oleh Cheng Hoe untuk separuh masa kedua, kemudiannya meletakkan Malaysia 201 di hadapan pada minit ke-64, tetapi Mongolia hanya mengambil masa enam minit untuk menyamakan kedudukan buat kali kedua. Gankhuyag Ser-Od-Yanjiv dengan jaringan sepakan percuma yang berkelas dunia.

Cheng Hoe membuat beberapa pertukaran penting dalam 20 minit terakhir untuk mencetus ‘comeback’ buat skuad kebangsaan, tetapi Mongolia bertahan dengan penuh semangat untuk memastikan skor perlawanan kekal sehingga penghujung 90 minit.

Skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan di Wisma FAM esok, sebelum berlepas ke Beirut pada 25 Mac akan datang. Malaysia dijadualkan bertemu dengan skuad kebangsaan Lebanon pada 27 Mac, dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019.