Malaysia Berita

Lima perkara yang perlu anda tahu tentang skuad Mongolia yang akan menentang Malaysia

Tan Cheng Hoe akan mengendalikan perlawanan pertamanya selaku ketua jurulatih Malaysia malam ini apabila skuad Harimau Malaya turun berdepan dengan Mongolia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pertemuan ini akan digunakan sebagai persiapan untuk skuad kebangsaan sebelum mereka berlepas ke Beirut untuk perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Lebanon, yang dijadualkan berlangsung pada 27 Februari akan datang.

Lebih menarik lagi, perlawanan ini turut dijangka menjadi pentas penampilan pertama buat Natxo Insa, bekas pemain Levante yang dinaturalisasikan pada bulan Jun lepas. Selain itu, pemain kacukan Barbados-Malaysia, La’Vere Corbin-Ong turut dijangka membuat ‘debut’ malam ini.

Bagaimana pula dengan skuad Mongolia? Dengan bantuan rakan kami di Football Tribe Mongolia, kami telah mengumpul beberapa info untuk anda mengenali pasukan mereka sebelum perlawanan malam ini!

TANPA KELIBAT PEMAIN TERBAIK MEREKA

Mongolia akan turun beraksi menentang Malaysia malam ini tanpa kelibat penyerang terbaik mereka, iaitu Munkh-Erdene Tuguldur, atau lebih dikenali sebagai M. Tuguldur. Pemain tengah yang berumur 22 tahun ini dinobat sebagai Pemain Bolasepak Terbaik di Mongolia pada tahun lepas, dan berjaya meledak lima gol dalam sembilan perlawanan terakhir mereka. Meskipun dinamakan dalam skuad Mongolia untuk perlawanan menentang Malaysia dan Mauritius selepas ini, rakan kami di Football Tribe Mongolia telah mendedahkan bahawa dia mengalami kecederaan di kem latihan pusat mereka baru-baru ini.

DIBIMBINGI OLEH JURULATIH YANG CUKUP MENGENALI MALAYSIA

Walaupun Mongolia bukan sebuah nama yang besar dalam dunia bolasepak, skuad kebangsaan mereka tidak boleh dipandang rendah kerana mereka dibimbingi oleh Michael Weiss, jurulatih yang pernah mengendalikan skuad kebangsaan Filipina sebelum ini. Dia cukup mengenali budaya bolasepak di Malaysia dan juga Liga-M. Malah, Weiss turut mengetahui skuad Malaysia secara mendalam selepas memberi komen berkenaan Natxo Insa, Kiko Insa dan La’Vere Corbin-Ong ketika sidang media yang diadakan di Wisma FAM, semalam.

HANYA TIGA PEMAIN DARI JUARA BERTAHAN LIGA PREMIER MONGOLIA

Walaupun Erchim sudah berjaya menjadi juara Liga Premier Mongolia untuk tiga tahun berturut-turut, Michael Weiss membuat keputusan untuk hanya membawa masuk tiga nama daripada kelab tersebut, iaitu penjaga gol B. Ariunbold, pemain pertahanan B. Davaajav dan juga penyerang terkenal mereka, S. Gal-Erdene. Sebaliknya, Weiss membawa masuk lapan nama daripada kelab kedua terbaik di Mongolia, iaitu Ulaanbaatar City FC. Untuk pengetahuan anda, Erchim ada bermain di pusingan kelayakan Piala AFC tahun ini, tetapi mereka tewas 0-7 secara agregat di tangan kelab Korea Utara, Hwaebul.

RAMAI PEMAIN SEMI-PRO

Skuad Mongolia ini mengandungi ramai pemain semi-pro, seperti yang didedahkan oleh kapten pasukan, Turbat Daginaa ketika sidang media di Wisma FAM semalam. “Saya boleh katakan kami hanyalah pasukan semi-pro kerana kami tidak ada budaya bola sepak seperti Malaysia. Pasukan kami bukan terdiri daripada pemain-pemain profesional. Ada yang berkerja dan ada yang masih belajar dan sukar untuk kami berlatih ketika musim sejuk.” Perkara tersebut benar kerana suhu di Mongolia ketika musim sejuk boleh menurun sehingga -45°C.

KEMENANGAN TERAKHIR PADA TAHUN 2016

Skuad kebangsaan Mongolia jarang beraksi di pentas antarabangsa dan kemenangan terakhir mereka adalah pada tahun 2016, apabila mereka menumpaskan Sri Lanka di pentas Piala Solidariti AFC. Tahun lepas, Mongolia hanya mengadakan dua perlawanan persahabatan, menentang Chinese Taipei dan juga Kyrgyzstan. Namun, Mongolia tewas di dalam kedua-dua perlawanan tersebut. Dalam 10 perlawanan terakhir mereka, Mongolia hanya berjaya meraih dua kemenangan, termasuk kemenangan 8-0 ke atas Northern Mariana Islands pada July 2016.