Kajian & Analisis Malaysia

Malaysia vs Mongolia: Lima muka baru yang boleh memainkan peranan penting

Malaysia bakal bertemu Mongolia dalam perlawanan persahabatan pada hari Khamis ini. Perlawanan tersebut yang dikategorikan sebagai perlawanan Kelas A, akan menampilkan ramai muka baru dalam skuad Harimau Malaya. Mari kita lihat lima individu yang mungkin menarik perhatian kita dalam perlawanan tersebut.

 

Tan Cheng Hoe

Yang pertama pastilah Tan Cheng Hoe. Perlawanan pertamanya sebagai ketua jurulatih Malaysia. Skuad Harimau Malaya melalui detik sukar ketika berada di bawah kendalian Nelo Vingada apabila tidak merekodkan sebarang kemenangan. Pastinya Tan Cheng Hoe boleh menggunakan semua ilmu yang dipelajari ketika berada di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal dan Nelo Vingada serta pengalaman bersama Kedah. Terkenal dengan corak permainan ala Tiki-Taka ketika bersama Kedah, pasti menarik untuk melihat adakah dia akan berjaya menerapkannya bersama skuad kebangsaan.

La’Vere Corbin Ong

Pernah beraksi bersama Kanada dalam perlawanan persahabatan menentang Scotland pada Mac 2017 dan setahun kemudian bakal menyarung jersi Harimau Malaya pula. Pemain kelahiran London ini antara pemain yang paling menarik perhatian dalam saingan liga musim ini. Bermain sebagai bek kiri, dia menunjukkan aksi cemerlang bersama Johor Darul Ta’azim. Seorang pakar lontaran jauh, pastinya ramai penyokong juga berharap dia dapat membantu menguatkan bahagian pertahanan Malaysia.

Natxo Insa

Seorang lagi pemain daripada Johor Darul Ta’azim. Selepas adiknya, Kiko mewakili Malaysia, kini giliran Natxo pula. Menolak panggilan ke skuad kebangsaan pada tahun lalu untuk menumpukan perhatian bersama JDT, akhirnya Natxo menerima tawaran bermain bersama Malaysia. Pemain tengah terbaik di Liga Malaysia pada musim lalu, Natxo bakal membawa kreativitinya ke skuad kebangsaan. Malangnya kita tidak akan dapat melihat gandingannya bersama Kiko apabila adiknya mengalami jangkitan mata.

Akhyar Rashid

Wonderkid Kedah. Akhyar antara pemain muda yang paling cepat meningkat naik. Bermula bersama skuad bawah 19 tahun pada musim lalu, dia pantas menarik minat Datuk Ong Kim Swee yang memanggilnya untuk bersama skuad bawah 23 tahun. Selepas menunjukkan aksi mantap di Piala AFC bawah 23 tahun dan Kedah dalam saingan liga, memang mustahil kalau adik kepada Rafdi Rashid ini tidak menarik perhatian Tan Cheng Hoe. Larian lincah pemain ini mampu membuatkan penyokong bangun dari kerusi mereka dengan perasaan teruja.

Irfan Zakaria

Mungkin namanya tidak terlalu dikenali berbanding rakan-rakan di bahagian serangan ketika bersama skuad bawah 23 tahun, tetapi peranan Irfan di Piala AFC Bawah 23 tahun tidak dapat dinafikan. Bergandingan bersama Adib Zainuddin dan Adam Nor Azlin ketika itu, Irfan membawa ketenangan dan membantu merancang serangan dari bawah. Beraksi sebagai pemain tengah bertahan bersama Kuala Lumpur di bawah tunjuk ajar Fabio Marciel, kebolehan Irfan bermain dua posisi pastinya boleh menjadi kelebihan untuknya jika diberi peluang oleh Tan Cheng Hoe.