Berita Asia

Aubameyang tarik diri daripada Kejohanan King’s Cup Thailand

Hasrat peminat bolasepak Thailand untuk melihat penyerang Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang beraksi menentang skuad kebangsaan mereka musnah apabila penyerang berkenaan terpaksa menarik diri daripada Kejohanan King’s Cup yang berlangsung di Bangkok.

Penyerang Gabon itu terpaksa menarik diri kerana nenek penyerang tersebut meninggal dunia pada hari Selasa. Penyerang tersebut sebelum ini dijadualkan tiba di Bangkok pagi tadi.

Gabon dijadualkan berdepan Thailand pada hari Khamis ini Stadium Rajamangala, Bangkok. Walaupun dengan ketiadaan Aubameyang, Gabon tetap mempunyai dua pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris iaitu pemain Watford Didier N’dong dan pemain Southampton, Mario Lemina.

Berita ketiadaan Aubameyang ini menjadi satu khabar buruk buat kejohanan King’s Cup selepas pemain Slovakia Marek Hamsik menarik diri disebabkan kecederaan dan bekas pemain terbaik AFC 2016, Omar Abdulrahman digugurkan dari skuad UAE ekoran masalah disiplin.

Kejohanan Kings Cup ini merupakan kejohanan tahunan di Thailand dan edisi kali ini adalah yang ke-46 diadakan. King’s Cup ini akan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 22-25 Mac. Dalam edisi tahun lalu, Thailand muncul juara sementara Slovakia pula pernah muncul juara dalam kejohanan tersebut pada tahun 2004.