Malaysia Berita

Ujian besar buat Stadium Nasional Bukit Jalil dan penyokong Malaysia pada hari Khamis ini

Hari ini kecoh di laman sosial apabila peminat bolasepak Malaysia mengeluh berkenaan harga tiket yang ditetapkan untuk perlawanan persahabatan Kelas A di antara Malaysia menentang Mongolia.

Harga yang telah ditetapkan adalah RM 30 untuk tempat duduk biasa, Kanak-Kanak RM 5 dan RM 50 untuk Grandstand. Ada yang bersetuju tetapi tidak kurang yang menyatakan harga tersebut mahal.

Melihat kepada kemudahan yang sudah ada di Stadium Nasional Bukit Jalil terutamanya ketika Sukan SEA dan Sukan Para Asean yang lalu, harga itu tidaklah terlalu mahal sebenarnya.

Dengan kemudahan tandas dan surau yang disediakan, juga food truck yang menjual pelbagai makanan selain ‘burger stadium’ yang terkenal itu, Stadium Nasional Bukit Jalil lebih selesa.

Tidak kiralah harganya RM30 atau RM 10, sebenarnya perlawanan bolasepak pada Khamis ini akan menjadi penentu buat Stadium Bukit Jalil ini. Setakat ini, Bukit Jalil masih belum pernah lagi menganjurkan perlawanan bolasepak untuk skuad kebangsaan.

SNBJ juga belum pernah merasa lagi diisi penuh dengan penyokong bolasepak yang sudah tentu penuh emosi. Setakat ini kebanyakan acara antarabangsa yang berlangsung di SNBJ tidak berkait dengan bolasepak kecuali kejohanan pra-musim yang melibatkan pasukan Kelantan pada Januari lalu.

Khamis ini kita akan melihat bagaimana disiplin penyokong Malaysia di SNBJ setelah sekian lama menunggu kembali ke ‘rumah’ Harimau Malaya. Adakah sampah sarap masih akan dibuang merata? Adakah masih ramai yang akan mengabaikan tanda larangan merokok?

Stadium Bukit Jalil sebelum ini telah menjadi saksi kepada beberapa sikap buruk penyokong tempatan. Ada yang mengabaikan keselamatan dan menggoncangkan pagar sehingga jatuh, ada yang memilih untuk duduk di tangga yang boleh menyebabkan laluan keluar tersekat jika berlaku kecemasan dan banyak lagi.

Diharap kembalinya penyokong Harimau Malaya ke SNBJ akan memberikan nafas baru. Kembalinya penyokong ke SNBJ diharap bersama semangat dan disiplin yang baru. Semoga Khamis ini, penyokong akan memenuhi stadium untuk memberikan semangat kepada pasukan kebangsaan setelah sekian lama menunggu dan semoga mereka pulang dengan gembira tanpa sebarang masalah atau kekacauan.