Malaysia Berita

Syafiq Ahmad mahu tebus kekecewaan, pemain muda beri sinar kepada Harimau Malaya

Mahu tebus kekecewaan.

Penyerang muda Johor Darul Ta’azim (JDT) mahu tebus kekecewaannya selepas terlepas beraksi bersama skuad bawah 23 tahun negara di Piala AFC B-23 pada Januari lalu.

Dipanggil menyertai skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, Syafiq antara pemain muda yang dipanggil bersama ramai lagi rakan sepasukannya di skuad bawah 23 tahun negara seperti Irfan Zakaria, Syazwan Andik, Adam Norazlin, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Haziq Nadzli dan Adib Zainuddin.

Walapun ramai penyokong Harimau Malaya skeptikal terhadap pemilihan Syafiq yang dilihat lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan mewakili JDT II di Liga Premier, bekas penyerang Kedah itu bertekad menunjukkan aksi terbaik untuk menepis semua kritikan itu.

“Saya sedar ada peminat yang mempertikaikan pemilihan beberapa pemain termasuk saya. Tapi, saya tidak kecil hati kerana mereka berhak memberi pandangan, malah, ia membakar semangat saya,” kata Syafiq seperti dilaporkan Harian Metro.

Pemilihan pemain-pemain bawah 23 tahun ke skuad senior ini pastinya memberi semangat kepada pemain-pemain muda lain. Mereka kini tahu jika mereka menunjukkan aksi cemerlang, mereka mempunyai peluang untuk beraksi bersama skuad senior.

Namun begitu, perkara sebegini perlu juga diterjemah di peringkat kelab di mana tidak banyak pasukan yang memberikan peluang kepada pemain muda. Pemain-pemain senior masih mendominasi kebanyakan pasukan di liga Malaysia dan pemain-pemain muda dilihat lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Dengan pemilihan pemain-pemain bawah 23 tahun ke skuad senior dan pemain bawah 21 tahun ke skuad bawah 23 tahun menunjukkan bahawa pemain-pemain muda wajar diberi peluang oleh pasukan mereka.

Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Haziq Nadzli, Irfan Zakaria dan Syazwan Andik sudah membuktikannya bersama JDT dan Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super. Mari kita lihat, adakah mereka mampu membuatkan pasukan lain lebih berani menurunkan pemain muda.