Malaysia Liga Super Malaysia

Wajarkah Michael Essien mencuba beraksi di Liga Malaysia?

Bekas pemain Chelsea, AC Milan dan Real Madrid, Michael Essien sah dilepaskan oleh kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung.

Selepas melalui musim yang mengecewakan, Persib Bandung membuat keputusan untuk melepaskan Essien dan mendapatkan penyerang Argentina, Jonathan Bauman.

Essien merupakan antara pemain marquee signing Liga 1 Indonesia pada musim lalu yang menyebabkan media luar tertarik dengan liga Indonesia yang berjalan semula selepas sekian lama berdepan masalah.

Dengan Essien kini bebas, apakah dia sebenarnya boleh menjadi pemain yang dicari-cari oleh mana-mana pasukan di Liga Malaysia?

Jika ditolak tepi gajinya yang tinggi, Essien mungkin sebenarnya mampu membantu beberapa pasukan dalam Liga Super Malaysia musim ini, terutamanya yang dilihat agak lemah di bahagian tengah.

Pasukan seperti Kedah dan Kuala Lumpur sebenarnya mungkin memerlukan sosok seperti Essien di bahagian tengah. Pemain seperti Liridon Krasniqi dan Paulo Josue yang memerlukan perlindungan supaya dapat membantu di bahagian serangan, pastinya akan menjadi lebih efektif dengan perlindungan Essien.

Seperti yang dilakukan oleh Jose Mourinho, Essien juga boleh beraksi di bahagian midfield kanan serta bek kanan bila diperlukan. Namun, dengan usianya yang sudah memasuki 35 tahun, mungkin stamina pemain ini sudah sedikit menurun.

Selain corak permainannya, pengalaman Essien yang beraksi bersama pasukan-pasukan besar di Eropah pastinya berguna untuk pemain-pemain muda. Dia boleh menjadi mentor dan memberi tunjuk ajar mengenai bagaimana menjadi pemain profesional dan menjaga pemakanan.

Ini mungkin cuma angan-angan. Tetapi kelab-kelab di Malaysia sebelum ini pernah menandatangani pemain-pemain bintang Seperti El-Hadji Diouf, George Boateng dan paling terkenal sudah tentu Pablo Aimar. Tidak ramai yang menjadi dan bergelut di Malaysia kerana masalah makanan dan cuaca. Tapi jika benar Essien boleh menyertai pasukan di Liga Malaysia (terutamanya Kuala Lumpur), pastinya sekali lagi Liga Malaysia akan menjadi tumpuan media luar.