Kolum Malaysia

Brendan Gan: Kisah seorang pemain bolasepak yang terpaksa mengharungi dua kecederaan ACL

Terdapat segelintir individu yang mempunyai kisah tersendiri serta telah melalui pengalaman yang mampu mengubah pandangan anda terhadap dunia, diri sendiri serta kesusahan yang anda alami. Salah seorangnya adalah pemain Malaysia kelahiran Australia, Brendan Gan.

Tiada unsur tokok tambah dalam kenyataan tersebut kerana kisah Brendan jelas mengandungi erti kata kesusahan, kesakitan, kekecewaan, tetapi juga keinginan, kekuatan mental serta aspek yang paling asas, iaitu harapan.

Dia adalah individu yang sudah pernah bertarung dengan masalah kecederaan lutut Anterior Cruciate Ligament (ACL) walaupun hanya berbekalkan bantuan serta sokongan yang amat tipis daripada majikannya. Tatkala rentak bola sepak terus rancak berjalan di Malaysia, Brendan terpaksa menggunakan wang sendiri   untuk melalui proses pemulihan yang cukup menyeksakan di Australia.

Dia pertama kali berdepan isu ACL pada lutut kanannya ketika perlawanan pertama Liga Super musim 2015. Ketika itu, dia bersama Kelantan di bawah kendalian bekas pemain Middlesbrough, George Boateng, dan telah menunjukkan prestasi hebat sejak disahkan menjadi pemain skuad The Red Warrior atas tiket naturalisasi pada pertengahan 2014. Bagaimanapun, dia gagal melepasi aksi pertama ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila disahkan mengalami kecederaan pada lutut kanan.

Brendan menghabiskan hampir keseluruhan tahun tersebut di Australia, melalui proses pemulihan sendiri. Pada Januari 2016, dia kembali ke Kota Bharu, membawa tekad untuk melupakan episod hitam itu, namun sembilan bulan kemudian, dia berdepan satu lagi masalah kecederaan ACL, kali ini pada lutut kiri. Kesakitannya tidak dapat diterangkan kerana hanya orang yang pernah berdepan masalah tersebut boleh memahaminya tetapi apa yang hampir membuatkan Brendan menjadi gila adalah kesukaran mental yang dihadapinya.

Kredit Foto: Brendan Gan

“Ia adalah detik paling sukar dalam hidup saya, apabila mengalami kecederaan ACL kali kedua. Ia disebabkan anda sudah mengetahui prosesnya. Kali pertama, ia adalah satu pengalaman baru, satu cabaran baru buat saya tetapi apabila memasuki kali kedua, proses pemulihan menjadi bosan serta membuatkan mental menjadi tidak normal. Sebelym ditimpa masalah ACL yang pertama, setiap kali kedengaran istilah “seorang atlet mengalami kecederaan ACL”, saya tidak pernah sedar akan kesukaran yang perlu dialami oleh individu tersebut. Ia bukan sesuatu perkara yang mudah,” kata Brendan kepada Fooball Tribe Malaysia.

Kecederaan ACL kedua yang ditanggung Brendan adalah ketika menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia.  Selepas mempamerkan aksi terbaik dalam kebanyakan perlawanan musim itu, Brendan berjaya menyertai skuad Harimau Malaya ke Jakarta. Namun ketika itu, Brendan sedar bahawa kakinya perlukan rehat yang mencukupi selepas mengharungi kalendar yang padat sebelum itu. Tetapi oleh kerana aksi tersebut merupakan perlawanan rasmi pertama buat skuad bolasepak Indonesia selepas menjalani hukuman FIFA, skuad Harimau Malaya berdepan dengan tugas yang sukar. Atas permintaan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, Brendan bersetuju untuk beraksi di Gelora Bung Karno tanpa menyedari malapetaka kedua bakal menantinya.

Selepas beraksi selama 45 minit, Brendan dikeluarkan dan pengalaman lalu membantunya sedar bahawa dia telah mengalami satu lagi episode kecederaan ACL. Pada keesokan harinya, dia diterbangkan semula ke Kuala Lumpur dan dengan segera dibawa untuk menjalani proses imbasan. Tekaannya tepat, apabila lutut kirinya sah menanggung masalah itu tatkala Piala Suzuki AFF hanya beberapa bulan sahaja lagi untuk dimulakan.

Kecederaan tersebut memberikan jutaan kekecewaan buatnya kerana pada waktu itu, dia melalui musim yang terbaik bersama Kelantan dalam saingan Liga Super sehingga mengesahkan status selaku pemain tengah bertahan yang disegani di dalam negara. Namun kejayaan itu diragut dengan halangan untuk beraksi di pentas bola sepak antarabangsa yang terbesar di peringkat Asia Tenggara. 

Sila tekan butang ‘Next’ untuk membaca sambungan artikel ini

Sebelumnya
Halaman 1 / 3