Malaysia

Gilmar, Wander Luiz bantu Perak tewaskan Sarawak di Lumut

Perak telah secara rasmi menempah slot pusingan ketiga Shopee Piala FA selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Sarawak di Stadium TLDM, Lumut, malam ini.

Walaupun tanpa kelibat Leandro dos Santos, kesebelasan pertama yang diturunkan oleh Mehmet Durakovic tetap kuat, dengan Brendan Gan dan Kenny Palraj di bahagian tengah, manakala Norhakim Hassan, Wander Luiz dan Gilmar mengemudi jentera serangan.

Tetapi, Sarawak berjaya mengejutkan penyokong tuan rumah seawal minit ke-7, apabila Matteo Roskam menerima hantaran jauh yang dilakukan oleh rakan sepasukannya, sebelum menjaringkan gol ‘half-volley’ untuk menewaskan Hafizul Hakim.

Perak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-15, dan Wander Luiz berjaya menyamakan kedudukan dengan cubaan yang tepat. Enam minit sebelum tamat babak pertama, skuad Mehmet Durakovic menjaringkan gol kedua mereka melalui Gilmar, selepas hantaran ‘through ball’ yang cukup cantik daripada Wander Luiz.

Meskipun Sarawak cuba bangkit pada babak kedua, Perak terus mendominasi tempo perlawanan dan akhirnya menjaringkan gol ketiga melalui Gilmar. Tandukan penyerang Brazil itu membantu Perak meraih kemenangan 3-1 dan sekaligus mara ke pusingan ketiga Piala FA.