Malaysia

Analisis: City Boys perlu lebih berani, di manakah penyokong Kuala Lumpur?

Kuala Lumpur menunjukkan cakar mereka dengan membenam Kuching FA 4-0 dalam perlawanan Piala FA 2018 yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Penyerang Brazil, Guilherme De Paula menjaringkan hatrik dan satu lagi gol dijaringkan oleh Paulo Josue. De Paula sepatutnya menjaringkan empat gol tetapi sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Kuching, Mohd Saiful Kamel Jamel.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan daripada perlawanan tersebut:

JURANG YANG TERLALU BESAR

Ternyata jurang di antara pasukan Liga Super dan Liga FAM terlalu jauh. Kuching FA gagal menyaingi Kuala Lumpur yang dibarisi pemain import. Kuala Lumpur yang diperkuat Guilherme De Paula, Paulo Josue, Bobirjon Akbarov dan Achmad Jufriyanto sukar disaingi kelab dari Sarawak itu.

Kuching FA gagal mencabar penjaga gol Kuala Lumpur, Ahmad Solehin Mamat. Tetapi, Muhammad Yazid Azhar merupakan antara pemain yang mencuri tumpuan buat Kuching FA menerusi larian pantasnya yang menggusarkan Syazwan Andik

GUILHERME DE PAULA KEMBALI MELETUP

Selepas sekian lama mengharungi kemarau gol, Guilherma de Paula kembali meletup untuk Kuaa Lumpur malam semalam. Dia bukan sahaja berjaya menjaringkan hat-trick, malah nampak lebih yakin dan positif di bahagian serangan. Dengan ketua jurulatih KL memilih untuk menggunakan pendekatan yang lebih positif, Guilherma nampak lebih selesa dan ketiga-tiga golnya sudah tentu akan membantu meningkatkan tahap keyakinan untuk perlawanan Liga Super seterusnya bagi Kuala Lumpur.

IRFAN ZAKARIA PERLU DIBERI LEBIH PELUANG

Irfan Zakaria ternyata membawa perubahan kepada Kuala Lumpur. Beraksi sebagai pemain defensive midfield, Irfan banyak membantu mengawal tempo permainan untuk Kuala Lumpur. Bahkan, dengan adanya Irfan, dia boleh kadang kala bertukar tempat dengan Jufriyanto atau Bobirjon untuk membolehkan salah seorang dari mereka lebih ke hadapan. KL juga boleh menukar formasi bermain tiga pertahanan tengah jika diperlukan.

TEMPO BERUBAH APABILA KL LEBIH BERANI

Dalam dua perlawanan awal Kuala Lumpur, menentang Selangor dan Negeri Sembilan, mereka dilihat menguasai bola tetapi tempo yang perlahan dan terlalu berhati-hati menghukum mereka. Menentang Kuching FA, mereka turut bermain begitu di separuh masa pertama. Di separuh masa kedua, Kuala Lumpur lebih berani dan bermain dengan tempo yang lebih pantas serta bermain di bahagian sayap dengan Ashri Chuchu dan Zaquan Adha. Kuala Lumpur mempunyai barisan serangan yang merbahaya sebenarnya, jika mereka sedar akan perkara itu, mereka boleh merisaukan barisan pertahanan lawan.

DI MANAKAH PENYOKONG KUALA LUMPUR

Berbeza dengan perlawanan menentang Selangor dan JDT, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur suram untuk perlawanan ini. Adakah kerana mereka menentang pasukan dari Liga FAM, jadi penyokong tidak berminat untuk turun ke stadium? Atau promosi kurang sehingga penyokong tidak tahu ada perlawanan di stadium? Adakah KL perlu menentang JDT setiap minggu supaya Stadium Cheras akan sentiasa penuh?