Malaysia

Analisis: Wander Luiz curi tumpuan ramai, posisi baru untuk Kenny Palraj?

Perak berjaya mara ke pusingan ketiga Shopee Piala FA selepas menumpaskan Sarawak 3-1 di Stadium TLDM malam semalam. Gilmar menjadi hero skuad The Bos Gaurus di Lumut dengan dua gol, manakala Wander Luiz pula menjaringkan satu gol untuk membantu anak buah Mehmet Durakovic meraih kemenangan yang berharga.

Sarawak berjaya mengejutkan penyokong tuan rumah seawal minit ke-7, apabila Matteo Roskam menerima hantaran jauh yang dilakukan oleh rakan sepasukannya, sebelum menjaringkan gol ‘half-volley’ untuk menewaskan Hafizul Hakim.

Perak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-15, dan Wander Luiz berjaya menyamakan kedudukan dengan cubaan yang tepat. Enam minit sebelum tamat babak pertama, skuad Mehmet Durakovic menjaringkan gol kedua mereka melalui Gilmar, selepas hantaran ‘through ball’ yang cukup cantik daripada Wander Luiz.

Meskipun Sarawak cuba bangkit pada babak kedua, Perak terus mendominasi tempo perlawanan dan akhirnya menjaringkan gol ketiga melalui Gilmar. Berikut adalah analisis kami berdasarkan perlawanan tersebut:

WANDER LUIZ, NORHAKIM CURI TUMPUAN

Walaupun Gilmar berjaya menjaringkan dua gol, namun Wander Luiz dan Nor Hakim merupakan dua pemain Perak terbaik di atas padang malam semalam. Nor Hakim memainkan peranan yang cukup penting di bahagian sayap kiri, dan sering membuat larian berbahaya yang membantu Perak menekan bahagian pertahanan Sarawak. Manakala Wander Luiz bukan sahaja menjaringkan gol pertama Perak, malah dia turut berjaya mencatat 'assist' untuk gol pertama Gilmar, yang tiba pada penghujung babak pertama.

PERTAHANAN SARAWAK NAMPAK RAPUH

'Defensive shape' pasukan Sarawak nampak begitu lemah di Stadium TLDM malam semalam, kerana barisan penyerang Perak berjaya melancarkan serangan bertubi-tubi dengan mudah. Isu ini menjadi lebih teruk selepas Perak menjaringkan gol pertama, seolah-olah pertahanan Sarawak bergelut dengan masalah keyakinan dan ketenangan di atas padang. Ian Gillan perlu menyelesaikan masalah ini dengan segera jika Sarawak mahu menempah slot Liga Super untuk musim depan.

ROSKAM PERLUKAN LEBIH PERTOLONGAN

Antara perkara yang paling positif tentang persembahan Sarawak adalah kesungguhan Mateo Roskam di atas padang. Penyerang berbangsa Croatia itu gigih mencari ruang sebagai 'target-man' skuad Bujang Senang dan itu membantunya menjaringkan gol tunggal Sarawak di Lumut. Walau bagaimanapun, Roskam kurang menerima bantuan daripada rakan sepasukannya, terutamanya daripada Nejbosa Marinkovic, yang sepatutnya menjadi 'playmaker' pasukan Sarawak. 

GILMAR BERNASIB BAIK

Gilmar menjadi hero Perak dengan dua gol malam ini, tetapi dia boleh dikatakan bernasib baik untuk kekal di atas padang selepas menyiku pemain Sarawak, Kim Chi-Gon. Walaupun pengadil perlawanan berada di situasi yang bagus untuk melihat insiden tersebut, beliau membuat keputusan untuk tidak menghukum Gilmar. Kad merah atau kad kuning, isu ini boleh didebat untuk berjam-jam. Tetapi hakikatnya adalah Gilmar bernasib baik untuk dilepaskan tanpa sebarang hukuman.

KENNY PALRAJ MEMPUNYAI PERANAN BARU?

Kenny Palraj adalah seorang pemain yang sering digunakan di posisi 'defensive midfield' ataupun di posisi pertahanan. Namun malam semalam, Kenny sering bermain di bahagian sayap kanan untuk membantu Wander Luiz sebanyak mungkin. Bekas pemain skuad Piala Presiden Perak itu cukup rajin membuat larian, dan turut membantu Amirul Azhan untuk mengekang segala serangan yang dilakukan oleh Sarawak di bahagian kanan. Mungkin Durakovic telah berjaya mencari posisi yang baru untuk Kenny Palraj?