Malaysia Liga Super Malaysia

Perlis FA dilanda krisis kewangan selepas penaja utama sah tarik diri

Pasukan Liga FAM, Perlis FA sedang dilanda krisis kewangan selepas penaja utama mereka membuat keputusan untuk menarik diri.

Menurut Presiden PFA Ir. Shaharuddin Ismail, isu ini telah merumitkan situasi gaji pemain untuk bulan Januari dan pihak pengurusan kelab sedang menanti pertolongan daripada beberapa pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“PFA telah berbincang dengan banyak pihak dalam menyelesaikan masalah ini dan kami juga memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)  kerana kita semua tahu bola sepak diminati seluruh rakyat Perlis,” kata Ir. Shahruddin kepada Sinar Harian.

“Masalah ini timbul apabila pihak yang berjanji menarik diri sedangkan mereka sepatutnya menjadi penaja utama yang mampu menampung perbelanjaan PFA untuk sepanjang musim ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perlis tumpas di pusingan kedua Piala FA malam semalam selepas ditewaskan 0-3 oleh pasukan UiTM di Shah Alam. Untuk perlawanan seterusnya, Perlis akan menerima kunjungan Marcerra United di Stadium Tuanku Syed Putra pada hari Rabu akan datang.