Luar Negara

“Dia sudah penat”- Emmanuel Petit sedih melihat Arsene Wenger

Dia sudah penat.

Mungkin itulah yang dirasakan oleh pengurus Arsenal, Arsene Wenger menurut bekas pemain Arsenal, Emmanuel Petit.

“Saya lihat dia di bangku, secara fizikal dia kelihatan penat, anda boleh lihat di wajahnya, kekecewaan itu. Dia perlu menjawab soalan berkenaan dirinya setiap masa.

“Ianya sudah 20 tahun. Tekanan yang dia hadapi sejak beberapa tahun yang lalu sangat hebat. Saya melihatnya dari luar dan berfikir. ‘Bagaimana dia boleh hidup dengan tekanan sebegitu setiap minggu?’

“Saya dapat rasakan dia sudah penat. Itu pendapat saya. Dia penat. Dua mungkin marah kerana semua jasanya terhadap Arsenal dan Liga Perdana Inggeris dilupakan.

“Tetapi Arsene lebih tahu dari orang lain bahawa dalam bolasepak, apabila anda sudah menang begitu banyak piala pada masa lalu, anda menetapkan satu tahap jangkaan yang tinggi.

“Saya tidak tahu apa akan terjadi di penghujung musim, tetapi saya akan tetap menyokong Arsene untuk apa yang telah lakukan untuk saya di Monaco dan Arsenal.”

Masa depan nampak kelam untuk Arsenal

Selepas dua kekalahan 3-0 kepada Manchester City dalam tempoh empat hari, penyokong Arsenal sudah semakin berang. Permintaan agar Arsene Wenger dipecat semakin lantang dan dalam perlawanan pada hari Khamis lalu, Stadium Emirates kelihatan kosong dengan ramai penyokong mengambil keputusan untuk tidak hadir ditambah dengan keadaan cuaca yang teruk di England.

Wenger akan sentiasa diingati kerana kejayaannya bersama Arsenal, terutamanya bersama skuad Invincibles, tetapi kegagalan Arsenal untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris dalam tempoh beberapa tahun ini telah menimbulkan rasa marah di kalangan penyokong.

Musim lalu, Arsenal terkeluar daripada kelompok empat teratas dan terpaksa bersaing dalam Piala Europa. Berdasarkan prestasi semasa, nampaknya mereka bakal beraksi dalam Piala Europa lagi musim hadapan kecuali jika mereka mampu menjuarainya musim ini seperti apa yang dilakukan Jose Mourinho musim lalu.

Arsenal juga telah menjual beberapa pemain utama mereka musim ini. Pada jendela perpindahan musim panas lalu, mereka menjual Alex Oxlade Chamberlain kepada Liverpool dan pada Januari lalu, mereka menjual Alexis Sanchez kepada Manchester United serta Olivier Giroud menyertai Chelsea. Henrikh Mkhitaryan, Alexander Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang adalah tiga pemain bintang yang menyertai The Gunners musim ini. Nampaknya, mereka juga tidak dapat membantu Arsenal.