Luar Negara

Bekas ketua pasukan Felda United sertai Madura United

Daripada Felda United ke MU.

Tapi ini bukan Manchester United atau Melaka United, tetapi Madura United.

Bekas pemain import Felda United, Zah Rahan Krangar telah diumumkan menyertai kelab Liga 1 Indonesia itu walaupun sebelum ini dikatakan akan menyertai juara bertahan Liga 1 Indonesia, Bhayangkara FC, namun tidak berlaku kerana dikekang oleh peraturan.

Selain Bhayangkara, pemain Liberia itu turut dikaitkan bersama Sriwijaya FC dan PSMS Medan.

Madura United pada musim lalu, berjaya membawa masuk bekas pemain Stoke City iaitu Peter Odemwingie, tapi nampaknya musim ini cukup sekadar bekas pemain Felda United sahaja.

Kehadiran Zah Rahan Krangar ke pasukan berjuluk Laskar Sappeh Kerab itu diumumkan oleh pengurus pasukan, Haruna Soemitro.

Zah Rahan Krangar pernah beraksi bersama Felda United daripada tahun 2014-2017 dan membuat 137 penampilan bersama The Fighters serta menjaringkan 40 gol. Namun, kerana Felda United diturunkan ke Liga Perdana ekoran masalah lesen, Zah Rahan membuat keputusan untuk kembali ke Indonesia setelah kali terakhir beraksi di sana bersama Persipura Jayapura sebelum menyertai Felda.

Zah Rahan juga pernah beraksi untuk Malaysia XI dalam perlawanan persahabatan menentang Liverpool pada tahun 2015.