Tercorot di Liga Super, tapi tetap berazam mahu rebut tiket ke Asia.
Itulah Kuala Lumpur FA.
Hari ini bakal berlangsung perlawanan di antara Kuala Lumpur menentang Kuching FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam aksi Piala FA.
Kuala Lumpur yang menghuni tangga tercorot Liga Super selepas hanya mencatat satu kemenangan selepas 4 perlawanan akan berdepan pasukan dari Liga FAM.
Nampak mudah, tapi dalam saingan Piala FA, semuanya boleh berlaku. Ditambah dengan ketidak tentuan prestasi Kuala Lumpur musim ini, mungkin ada sesetengah peminat tidak akan terkejut jika berlaku kejutan hari ini.
Agak aneh melihat posisi Kuala Lumpur di Liga Super sebenarnya. Menjuarai Liga Perdana pada musim lalu, dan dibarisi nama-nama besar seperti Indra Putra Mahayuddin dan Zaquan Adha, pemain muda berbakat seperti Irfan Zakaria dan Syazwan Andik, juga pemain import yang telah membantu mereka musim lalu seperti Guilherme De Paula dan Paulo Josue. Pasukan yang turut sama naik ke Liga Super seperti PKNP dan Terengganu berada di posisi lebih bagus daripada Kuala Lumpur, bahkan Terengganu berada di kelompok teratas Liga Super, satu posisi yang sepatutnya menjadi sasaran Kuala Lumpur!
Setelah lama menghilang daripada liga utama Malaysia, Kuala Lumpur akhirnya kembali ke Liga Super dan kembali semula ke stadium keramat mereka, Stadium Cheras setelah berkelana ke Stadium Merdeka, Stadium Selayang bahkan Stadium Hang Jebat.
Sebelum sepak mula Liga Super berlangsung, dapat dilihat akhirnya orang sudah mula bercakap mengenai The City Boys. Sudah ada anak-anak muda KL yang mula sedar kewujudan pasukan bolasepak KL.
Mimpi ngeri Kamarul Effandi
KL tewas dua perlawanan awal menentang musuh ketat Selangor dan seterusnya kepada Negeri Sembilan. Kesilapan penjaga gol KL, Kamarul Effandi menjadi bahan jenaka sehingga dipetik media antarabangsa.
Mereka bangkit semula untuk menewaskan juara bertahan JDT dalam perlawanan seterusnya walaupun ia mengambil masa dua hari. Takdir seakan-akan sudah berpihak kepada KL ketika itu hinggakan saya rasa kalau perlawanan berlangsung selama seminggu pun KL tetap akan menang.
Namun, kebangkitan itu hanya sementara kerana selepas itu satu lagi kesilapan Kamarul Effandi menghadiahkan kemenangan kepada PKNP di Stadium Batu Kawan.
Ekoran kekalahan itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao dan Kamarul telah dipanggil oleh pihak pengurusan KL. Adakah Fabio akan menjadi mangsa ketiga Liga Super selepas Sathit Bensoh dan Jorge Steinerbrunner? Adakah KL akan mengikut jejak langkah Kelantan dan Negeri Sembilan atau terus setia bersama Fabio yang telah membantu KL menjulang piala setelah sekian lama?
Piala FA pintu ke Asia
Nampaknya Piala FA ini akan menjadi penentu kepada masa depan KL. Piala FA merupakan salah satu daripada dua pintu untuk ke Asia. Menang Piala FA, KL akan membawa cabaran Malaysia ke peringkat Asia. Mungkin agak melucukan kalau pasukan di kelompok bawah membawa cabaran negara ke peringkat Asia, tetapi Wigan juga dulu pernah mewakili England ke Piala Europa selepas memenangi Piala FA pada tahun 2013. Jika benar KL ‘can do a Wigan’ mungkin menarik, tetapi harapnya tidak betul-betul mengikut Wigan hingga terjerumus kembali ke Liga Premier.
Kepada anak kota, bangkitlah. Tunjukkan ciri-ciri sang juara. Pulihkan sayapmu dan terbanglah tinggi wahai Helang Kota. Sampai Mati Kuala Lumpur atau Sampai Kuala Lumpur mati?