Kolum Malaysia

Brendan Gan: Kisah seorang pemain bolasepak yang terpaksa mengharungi dua kecederaan ACL

Lebih memeritkan, dalam masa satu minggu, Brendan menyedari bahawa pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak akan menanggung segala kos perubatan dan pemulihannya, memaksanya mengemas barang dan terbang semula ke Australia untuk melalui proses yang sama buat kali kedua dalam masa dua tahun.

“Apa yang paling membuatkan saya kecewa adalah saya mula menemui sentuhan, dapat meningkatkan prestasi melebihi jangkaan awal dan berada di prestasi terbaik. Saya berada dalam proses untuk menjadi seorang pemain yang lebih bagus pada ketika itu. Jadi, situasi yang berlaku telah memadamkan segala usaha dan kejayaan itu.

“Bola sepak adalah sesuatu yang saya sayang dan ia bukan satu pekerjaan sehinggalah saya mengalami kecederaan ACL yang kedua. Ianya cukup sukar apabila tidak mendapat bantuan kewangan daripada pihak kelab dan skuad kebangsaan. Amat mengecewakan untuk melihat keluarga terpaksa berusah-payah mencari wang, walaupun saya masih mempunyai kontrak dengan pasukan Kelantan pada waktu itu.”

Bayangkan. Hati dan jiwa telah anda berikan di atas padang apabila beraksi buat pasukan kelab dan skuad kebangsaan tetapi apabila ditimpa kecederaan, anda terpaksa menanggungnya seorang diri. Ditinggalkan seorang diri daripada segi kewangan adalah beban paling besar ketika melalui proses pemulihan. Ditinggalkan secara fizikal membuatkan kesakitan lebih terasa. Ditinggalkan seorang diri membuatkan mental sentiasa bertarung dengan kekecewaan dan rasa tidak selamat. Setiap minit tampak seperti berhari-hari lamanya, setiap jam seperti berminggu-minggu. Bagaimanap untuk seseorang pemain menghadapinya?

Kredit Foto: Brendan Gan

“Saya tidak menonton sebarang perlawanan bolasepak, memikirkan tentang bolasepak atau dikelilingi bolasepak sepanjang proses tersebut. Hanya beberapa perlawanan yang saya saksikan bagi Liga Super dan skuad kebangsaan tetapi tiada apa yang saya mahukan dengan bolasepak pada waktu itu. Apabila memikirkannya, ia menjadi satu perkara yang amat perit, membuatkan saya kecewa, dan pelbagai persoalan negatif bermain di fikiran. “Mengapa ini terjadi kepada saya”? Kecederaan sememangnya boleh berlaku kepada semua individu tetapi dibiarkan berseorangan membuatkan saya tidak mahu dikelilingi oleh semua orang.

“Apabila anda beraksi dengan baik, semua orang mahu berkawan dengan anda, mahu menjadi sebahagian daripada kejayaan itu tetapi apabila ditimpa masalah dan kecederaan, dengan pantas mereka hilang dan tidak memberikan bantuan. Syukur, saya menerima sokongan padu daripada keluarga dan rakan-rakan. Mereka menjadi faktor utama untuk saya terus pulih, terutamanya tunang saya.

“Ketika proses pemulihan, dia tahu cara untuk memberikan galakan kepada saya. Perkara yang paling sukar ketika melalui proses pemulihan adalah apabila anda merasakan bahawa diri anda telah bersedia sepenuhnya untuk beraksi dan kembali di atas padang. Namun, itu adalah contoh situasi yang cukup berbahaya. Kecederaan mampu kembali dalam sekelip mata dan tunang saya pandai menyedari perkara ini. Dia sedar apabila saya cuba melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan.”

Sila tekan butang ‘Next’ untuk membaca sambungan artikel ini