Luar Negara

Persija Jakarta kembali ke Gelora Bung Karno

Sebelum ini timbul kerisauan di kalangan penyokong Persija Jakarta apabila mereka dilihat masih belum menerima khabar di mana pasukan mereka akan bermain untuk Liga 1 Indonesia.

Namun, hari ini mereka menerima perkhabaran gembira apabila setelah beberapa kali beraksi di stadium lain, mereka kembali ke Stadium Gelora Bung Karno.

Perkara ini diumumkan oleh Gabenor Jakarta, Anies Baswedan menerusi laman Twitter peribadinya apabila dia menyatakan bahawa pasukan yang terkenal dengan julukan Macan Kemayoran itu akan dapat beraksi di Stadium Gelora Bung Karno untuk Liga 1 dan pertandingan lain

Menurut Anies, GBK boleh digunakan sesiapa pun, asalkan tidak bertembung dengan jadual Sukan Asia yang akan berjalan di Jakarta nanti. Selain itu, dia turut mengingatkan kepada semua penyokong Persija agar menjaga tatatertib dan kemudahan yang ada di stadium tersebut.

Nampaknya nasib Persija lebih kurang sama seperti Kuala Lumpur. Setelah sekian lama berhijrah, akhirnya dapat kembali ke stadium keramat. Cuma bezanya, penyokong Persija boleh memenuhkan stadium mereka.