Luar Negara Berita

Kelab Uganda, Swaziland, Guinea dan Botswana cipta sejarah dalam Liga Juara-Juara Afrika

Jika anda sedang bosan dengan berita-berita Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Juara-Juara Asia, mungkin anda harus menjengah ke pentas Liga Juara-Juara Afrika kerana beberapa pasukan sudah melepasi peringkat kelayakan, sekaligus mencetuskan satu sejarah baru.

Pasukan seperti Kampala Capital City Authority Football Club (KCCA) dari Uganda, Mbabane Swallows (Swaziland), Township Rollers (Botswana) dan Horoya dari Guinea telah menjadi pasukan pertama dari empat negara tersebut yang melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Afrika.

KCCA mencipta sejarah baru selepas mengatasi wakil Ethiopia, Saint Georhe. Dalam pertemuan pertama, kedua-dua pasukan sekadar mencatat keputusan seri 0-0, namun KCCA berjaya menghasilkan satu gol menerusi Muhammad Shaban untuk memastikan laluan KCCA ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, Mbabane kini sedang berada di prestasi terbaik. Selepas mereka menjadi wakil pertama yang beraksi di peringkat kumpulan Piala Konfederasi Afrika pada tahun lalu, kini mereka mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara Afrika. Mereka berjaya melepasi cabaran wakil Zambia, Zanaco, dengan keputusan agregat 3-1.

Bagi Township Roller, mereka menang 2-1 dalam aksi pertama ketika menentang wakil Tanzania, Young Africans, sebelum mengikat kedudukan 0-0 dalam perlawanan timbal-balik untuk memastikan tempat di Liga Juara-Juara Afrika sementara Horoya melakukan kejutan selepas menewaskan pasukan dari Senegal, Generation Foot, dengan agregat 4-1.

Layaknya keempat-empat pasukan itu bererti mereka telah mencipta satu sejarah yang membanggakan buat negara masing-masing. Bagaimanapun, perjalanan masih jauh. Mereka harus berwaspada dengan pasukan gergasi, Al Ahly. Wakil dari Mesir itu telah menjuarai kejohanan sebanyak lapan kali. Selain itu, juara bertahan, Wydad Casablanca juga perlu dipandang serius. Mereka melayakkan diri ke peringkat kumpulan selepas mengatasi Williamsville AC dengan agregat 7-4.