Luar Negara Eropah

Liga Juara-Juara Eropah: Keputusan penuh undian peringkat suku akhir

Peminat bola sepak di seluruh dunia akan disajikan dengan empat perlawanan hebat ekoran majlis undian peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang diadakan petang tadi. Andriy Shevchenko menjadi tetamu istimewa yang menyempurnakan majlis tersebut dan berikut adalah empat perlawanan suku akhir UCL.

Ramai penyokong Barca yang mahu kelab mereka bertemu AS Roma dan hasrat mereka nampaknya akan direalisasikan. Walaupun AS Roma mempunyai barisan pemain yang baik dan berpengalaman, susah untuk melihat mereka memberi cabaran kepada Barcelona, terutamanya selepas melihat persembahan skuad Ernesto Valverde menentang Chelsea tempoh hari.

Selepas menewaskan Besiktas dengan mudah, Bayern Munich sekali lagi menerima pasukan lawan yang tidak mempunyai reputasi sebesar mereka. Walau bagaimanapun, kejayaan Sevilla mencipta kejutan menentang Man Utd bermakna Bayern tidak boleh memandang rendah terhadap skuad Vincenzo Montella.

 

Tanpa sebarang keraguan, pertemuan di antara Juventus dan Real Madrid merupakan perlawanan yang akan mencuri tumpuan ramai. Dari segi kekuatan dan prestasi semasa, kedua-dua kelab kini berada di tahap yang lebih kurang sama, dan Juventus sudah tentu mahu membalas dendam kekalahan musim lepas. Tetapi, Real Madrid mempunyai Cristiano Ronaldo.

Perlawanan ini mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya satu pasukan Liga Perdana Inggeris akan bermain di peringkat separuh akhir. Man City boleh dikatakan antara pasukan paling hebat di Eropah musim ini, jika bukan yang terhebat, namun Liverpool adalah satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan City di pentas EPL musim ini.