Luar Negara Eropah

Chelsea mahu sambar Aaron Ramsey dari Arsenal

Nampaknya seorang lagi pemain Arsenal bakal mengikut jejak langkah Olivier Giroud.

Selepas mendapatkan Giroud dari Arsenal pada jendela perpindahan Januari lalu, Chelsea dikhabarkan sedang memantau perkembangan pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey yang masih belum menandatangani kontrak baru bersama The Gunners.

Bintang Wales itu mempunyai baki setahun lagi kontrak bersama Arsenal dan menyatakan kelab masih belum menawarkan kontrak baru kepadanya.

“Masih belum ada apa-apa perkembangan. Mungkin mereka sibuk dengan kontrak pemain-pemain lain buat masa ini.”

Sebelum ini, Chelsea juga pernah berminat untuk mendapatkan Alex-Oxlade Chamberlain pada jendela perpindahan musim panas yang lalu sebelum pemain berkenaan memilih untuk ke Liverpool.

Pemain yang terkenal dengan jolokan Rambo itu berpindah ke Arsenal daripada Cardiff City pada tahun 2006 selepas turut menarik minat Manchester United. Masa Ramsey di Arsenal memang penuh warna warni, terutamanya apabila dia mengalami kecederaan teruk ketika menentang Stoke City pada 27 Februari 2010.

Dalam perlawanan tersebut, pemain pertahanan Stoke, Ryan Shawcross telah membentes Ramsey hingga menyebabkan kakinya patah. Selepas sembuh dari kecederaan itu, Ramsey dipinjamkan ke Nottingham Forest dan Cardiff untuk mendapatkan kecergasan. Selepas kembali ke Arsenal, dia menunjukkan peningkatan prestasi dan kini menjadi antara tunjang utama The Gunners.