Berita Kolum

Shoya Nakajima: Bintang Jepun yang sedang mencuri tumpuan di Portugal

Jepun terkenal dengan kelahiran pemain-pemain bola sepak berkelas dunia. Sebelum ini, antara pemain yang telah datang dari negara Matahari Terbit itu adalah Hidetoshi Nakata serta pakar sepakan bola mati, Shunsuke Nakamura.

Dalam bola sepak moden, Jepun dilihat melahirkan lebih ramai pemain yang mempunyai kemahiran teknikal tinggi seperti Shinji Okazaki, Shinji Kagawa, Yuto Nagatomo, Keisuke Honda sehinggalah kini muncul sebuah lagi nama yang menarik perhatian pasukan-pasukan Eropah, Shoya Nakajima.

Nakajima memulakan karier di tanah airnya apabila beraksi buat pasukan Liga J2 Jepun, Tokyo Verdy. Pemain yang beraksi di posisi sayap itu tampil sebanyak 33 kali, mencatatkan enam jaringan dan dua bantuan gol.

Bagi musim 2013/14, dia telah berhijrah ke Liga J1 untuk menyertai FC Tokyo. Permainannya dilihat semakin berkembang apabila menyumbat 14 gol dan menyempurnakan 10 bantuan jaringan dalam 69 penampilan.

Kehebatannya di Jepun telah menggamit dua pasukan Eropah, iaitu Tenerife dan kelab yang baru sahaja dinaikkan ke Liga Primeira, Portimonense FC, dan dia akhirnya berhijrah secara pinjaman ke Portugal. Hasilnya sangat memberansangkan.

Ketika penampilan pertama bertemu Benfica, Nakajima berjaya mencatat ‘assist’ buat penyerang utama, Fabricio, walaupun mereka tewas dalam pertemuan tersebut. Dalam aksi seterusnya, dia menyumbat gol ketika menentang Feirense.

Sejak itu, dia terus tampil cemerlang, termasuk rembatan kaki kanan ketika bertemu Rio Ave serta gol yang menyelamatkan pasukannya daripada tewas selepas ketinggalan satu gol ketika aksi bertemu Pacos De Ferreira. Dia akhirnya berjaya menyumbat sembilan gol dan enam bantuan jaringan selepas beraksi sebanyak 22 perlawanan.

Kecemerlangan yang ditunjukkan Nakajima di Portugal telah membuatkan beberapa pasukan tertarik, termasuk Benfica. Dia juga menarik perhatian tiga pasukan Bundesliga iaitu Eintracht Frankfurt, FC Stuttgart serta Borussia Dortmund. Bahkan, skuad kebangsaan Jepun juga sudah menyenaraikannya bagi menghadapi saingan Piala Cabaran Kirin.

Aksinya bersama skuad Samurai Blues pastinya ditunggu-tunggu sekiranya dia dibawa ke Russia bagi aksi Piala Dunia 2018. Semoga Nakajima mampu meletakkan dirinya sebaris dengan bintang-bintang Jepun yang lain.