Luar Negara

Urawa Red Diamonds bayar USD500k untuk bawa bekas pemain Negeri Sembilan ke Jepun

Bekas pemain Negeri Sembilan, Andrew Nabbout telah secara rasmi menyertai juara Asian Champions League 2017, Urawa Red Diamonds untuk musim J.League 2018.

Berita ini disahkan oleh kedua-dua kelab, dan menurut pelbagai laporan di Australia, Newcastle Jets dijangka akan menerima USD500,000 untuk perpindahan tersebut.

Nabbout sebelum ini pernah bermain untuk Negeri Sembilan pada 2016, dan dia berjaya menjaringkan 9 gol dalam 14 perlawanan untuk skuad yang dikendalikan oleh Gary Phillips pada ketika itu.

Namun, Nabbout dilepaskan oleh pihak pengurusan Jang pada jendela perpindahan bulan Jun dan alasan yang diberikan oleh mereka adalah ‘untuk mencari pemain import yang lebih berkualiti’.

Pemain Australia itu kemudiannya kembali ke A-League untuk menyertai Newcastle Jets dan terus menjadi antara pemain terbaik pasukan tersebut. Dalam 18 bulan bersama Newcastle Jets, Nabbout berjaya meledak 18 gol dalam 46 penampilan, termasuk gol yang cukup cantik untuk membantu pasukannya menewaskan Sydney FC 2-1 pada hari Sabtu lepas.