Asia

Jepun tempah tiket ke Piala Dunia 2018

Jepun layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia tahun depan selepas jaringan Takuma Asano dan Yosuke Ideguchi membantu mengatasi Australia 2-0 pada aksi kelayakan Kumpulan B Zon Asia di sini, sebentar tadi.

Ini adalah kali keenam skuad Samurai Biru mara ke pusingan akhir Piala Dunia.

Asano menjaringkan gol pendahuluan empat minit sebelum babak pertama berakhir, manakala Ideguchi memastikan kemenangan mutlak Jepun menerusi tendangan jarak jauh pada minit ke-82.

Jepun adalah negara keempat mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia pada tahun depan.

Sebelum ini Brazil dan Iran sudah mara lebih awal untuk menyertai tuan rumah. Piala Dunia Russia 2018 dijadual pada 14 Jun hingga 15 Julai tahun depan.

Sementara itu, tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar gagal mara ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia pada tahun depan selepas tewas, 3-1 di tangan Syria pada aksi kelayakan Kumpulan A Zon Asia di Stadium Hang Jebat, dekat sini, sebentar tadi.

Qatar yang tidak pernah beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia, perlu memenangi baki dua perlawanan kelayakan untuk terus menghidupkan saki baki peluang layak ke Russia pada tahun depan – REUTERS

sumber: Berita Harian