Berita Asia

Thailand mahu pertahan kejuaraan King’s Cup 2018

Juara Kejohanan King’s Cup 2017, Thailand tahu misi sukar yang dihadapi mereka untuk mempertahan kejuaraan mereka untuk edisi tahun ini.

Bakal berdepan pasukan seperti Gabon, Emiriah Arab Bersatu dan Slovakia, ketua jurulatih Thailand, Milodan Rajevac tahu ianya bukan tugas mudah.

Di sebalik penarikan diri pemain-pemain bintang seperti Pierre-Emerick Aubameyang untuk Gabon, Omar Abdulrahman untuk UAE dan Marek Hamsik untuk Slovakia, kesemua pasukan tersebut tetap menjadi pencabar untuk Thailand.

“Setiap pasukan cuma kekurangan seoranga atau dua pemain. Secara keseluruhan, kesemua pasukan kuat dan mempunyai pemain berkualiti. Gabon adalah salah satu pasukan kuat di Afrika dengan jurulatih yang hebat dan pemain yang bagus,” kata Rajevac seperti dilaporkan media Thailand, Nation Multimedia.

Rajevac juga mahu mencuba untuk melihat aksi pemain-pemain baru dalam kejohanan ini yang dipanggil ke skuad kebangsaan.

“Ini peluang bagus untuk melihat pemain baru. Bintang baru biasanya terhasil dalam kejohanan seperti ini.”

Thailand akan berdepan Gabon dalam perlawanan pertama mereka petang ini. Gabon dikendalikan oleh jurulatih Sepanyol, Jose Antonio Camacho yang mempunyai mimpi ngeri berdepan Thailand ketika menjadi ketua jurulatih China. Thailand di bawah kendalian Kiatisuk Senamuang membelasah China 5-1 dalam satu perlawanan persahabatan lima tahun lalu.

Walaupun Pierre-Emerick Aubameyang tiada, Gabon tetap mempunyai dua pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris iaitu Didier N’dong (Watford) dan Mario Lemina (Southampton).