Malaysia Berita

Helmi Remeli, Daudsu, Zairul Fitree sah sertai D’AR Wanderers FC

Jendela perpindahan kedua belum dibuka, tetapi sudah ada perpindahan masuk di Liga Malaysia.

Kelab di Piala FAM, D’AR Wanderers FC mengumumkan kehadiran pemain dan jurulatih baru mereka menerusi laman Twitter pasukan pada malam semalam.

Bekas pemain Kelantan, Daudsu Jamaluddin dan Zairul Fitree bersama bekas pemain Kuala Lumpur, Helmi Remeli sah menyertai pasukan yang berpengkalan di Temerloh itu.

Ketiga-tiga pemain menyertai D’AR Wanderers daripada pasukan Liga Premier, Marcerra Kuantan FA dan akan mula didaftarkan selepas jendela perpindahan dibuka nanti.

Skuad kendalian Hashim Mustapha itu berkongsi tangga terbawah bersama Marcerra United selepas sekadar memungut tiga mata daripada empat perlawanan hasil kemenangan menentang Perlis.

Sebelum ini pernah dilaporkan bahawa pemain-pemain dan pegawai Marcerra Kuantan FA tidak menerima gaji sejak tiga bulan yang lalu. Masalah ini bukanlah perkara yang baru kerana kelab berkenaan pernah gagal melunaskan gaji selama 11 bulan pada musim lalu.