Luar Negara

Kiko Insa sah berhijrah ke Bangkok Glass FC di Thailand

Kiko Insa telah mengesahkan bahawa dia akan bermain untuk kelab Liga Thai, Bangkok Glass FC untuk musim 2018, selepas meninggalkan Pahang baru-baru ini.

Menurut laporan FourFourTwo, Insa telah menandatangani kontrak satu tahun bersama pasukan Bangkok Glass dan tekad mahu bangkit semula selepas gagal menyerlah bersama pasukan Tok Gajah musim lepas.

“Saya cukup gembira untuk berhijrah ke Thailand. Liga Thailand merupakan platform yang bagus dan Bangkok Glass juga merupakan barisan pemain import yang berkebolehan. Selain itu, barisan kejurulatihan kelab ini berasal daripada Sepanyol dan mereka menunjukkan kepercayaan yang tinggi terhadap saya,” kata Insa kepada FourFourTwo.

Ini bermakna Kiko Insa akan menjadi pemain Malaysia ketiga untuk beraksi di luar negara tahun ini, selepas Dominic Tan dan Syamer Kutty dipinjamkan ke kelab Portugal, Vilaverdense FC minggu lepas. Dan bekas pemain Bali United ini mahu membuktikan dirinya untuk menerima panggilan skuad kebangsaan bagi kejohanan Piala AFF Suzuki pada hujung tahun ini.

“Buat masa sekarang, semua perkara berjalan dengan lancar. Saya akan gigih berlatih untuk memastikan kecergasan saya berada di dalam keadaan yang bagus. Saya mahu bermain di Piala AFF Suzuki. Kita perlu sekurang-kurangnya mara ke pentas final demi penyokong Malaysia,” tambah Kiko.

Musim lepas, Bangkok Glass habis di tangga ke-5 Liga Thai, dengan 16 kemenangan, lapan seri dan 10 kekalahan daripada 34 perlawanan.