Malaysia Liga Super Malaysia

Davies teruja dengan kerjasama FMLLP-iflix, tetap berharap penyokong banjiri stadium

Kapten skuad Pahang, Matthew Davies berpendapat bahawa kerjasama yang terjalin di antara FMLLP dan iflix adalah perkara yang cukup positif untuk peminat bolasepak di seluruh Malaysia.

Awal minggu ini, FMLLP mengumumkan bahawa iflix akan menyediakan penstriman secara langsung untuk kesemua 132 perlawanan Liga Super musim ini dan bagi Matt, perkara itu hanya akan meningkatkan kehangatan dari perspektif jutaan penyokong di seluruh Malaysia.

“Jelas ini merupakan perkembangan yang cukup positif buat bolasepak Malaysia. Siaran langsung untuk setiap perlawanan liga – sudah tentu perkara ini akan menarik perhatian lebih ramai orang terhadap kancah bolasepak tempatan,” kata Davies kepada Football Tribe Malaysia.

“Tambahan pula, keuntungan yang bakal diterima oleh setiap pasukan sudah tentu akan membantu mengukuhkan status kewangan mereka. Jadi ini memang suatu perkara yang positif.”

Walau bagaimanapun, Davies, yang turut memainkan peranan yang besar dalam membantu skuad B-23 negara melakar sejarah di pentas AFC B-23 tahun baru-baru ini, berharap bahawa perkembangan ini tidak menghindar penyokong daripada terus hadir memberi sokongan di stadium pasukan masing-masing.

“Saya berharap penyokong bolasepak Malaysia akan tetap membanjiri stadium untuk menyokong pasukan masing-masing. Sebagai seorang peminat bolasepak, anda tahu bahawa suasana meriah di setiap perlawanan merupakan suatu perkara yang unik dan tidak boleh diperolehi jika anda menyaksikan perlawanan melalui kaca TV,” tambah bekas pemain Perth Glory itu.

Pahang akan memulakan kempen Liga Super mereka malam esok apabila mereka turun berdepan dengan Perak di Stadium Darul Makmur pada jam 9.00 malam. Pertembungan tersebut boleh disaksikan secara langsung melalui saluran Football Malaysia di iflix.