Liga Super Malaysia Berita

Selepas jual jersi lebih RM1.6 juta, kini JDT raih tontonan lebih 1.6 juta

Walaupun musim 2021 baru sahaja bermula, Johor Darul Ta’zim FC berjaya mencatatkan pencapaian demi pencapaian tahun ini.

Ini bermula dengan jersi baharu JDT yang terjual sehingga mengumpul RM1.6 juta, dengan lambang Unicef menjadi antara faktor penjualan yang tinggi serta kelainan rekaan jersi berbanding musim-musim sebelum ini.

Perlawanan yang melibatkan JDT sentiasa mencatatkan jumlah tontonan tertinggi dari mana-mana pasukan Liga Malaysia, tetapi kali ini adalah rekod baharu.

Selepas hanya dua perlawanan berlangsung, JDT yang bertemu Kedah pada Piala Sumbangsih dalam perlawanan pertama dan Pulau Pinang pada perlawanan kedua mencatatkan jumlah tontonan melebihi 1.6 juta di saluran YouTube rasmi Unifi.

Apa yang lebih menarik, jumlah ini tidak termasuk angka penonton yang menyaksikan secara langsung menerusi saluran RTM dan UnifiTV.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang berterusan menyokong kelab menerusi tontonan siaran langsung di laman YouTube unifi.

“Jumlah ini adalah sangat memberangsangkan di kala para penyokong masih tidak dibenarkan masuk ke stadium ekoran penularan pandemik Covid-19.”

Jika dikira secara keseluruhan, sudah pasti jumlah tontonan yang menyaksikan JDT sudah mencecah 2 juta.