
Pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin mengesahkan bahawa pemain tengah, Halim Saari mengalami kecederaan lutut yang serius (ACL) dan terpaksa berehat selama lebih enam bulan.
Ini menjadikan Halim sebagai pemain tengah Selangor yang ketiga mengalami kecederaan selepas Brendan Gan dan Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim turut disahkan cedera.
“Kita sudah menghantar Halim ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” kata Mahfizul kepada Harian Metro.
“Mungkin dia tidak boleh beraksi untuk perlawanan Liga Super akan datang. Sudah tentu kecederaan dialami Halim menambah kebimbangan pasukan yang sebelum ini tidak dapat menggunakan khidmat dua pemain utama kerana cedera.
“Namun, barisan kejurulatihan akan mencari jalan terbaik untuk membariskan pemain lain bagi mengharungi perlawanan akan datang.”
Halim akan menjalani pembedahan pada minggu depan, sebelum dibenarkan berehat dalam tempoh yang panjang.
Bagaimanapun, Selangor masih memiliki pemain tengah seperti Oliver Buff, Hakim Hassan, K Sarkunan serta dua orang pemain muda iaitu Aliff Haiqal dan Mukhairi Ajmal.