Malaysia Berita

Bekas tonggak Perak K. Nanthakumar telah mengumumkan tarikh persaraan

Bekas tonggak utama Perak, K. Nanthakumar telah secara rasmi mengumumkan keputusannya untuk bersara sebagai pemain bola sepak pada hujung minggu ini.

Pemain berusia 40 tahun itu kini merupakan kapten pasukan MISC-MIFA dan dia akan membuat penampilan terakhir sebagai seorang pemain bola sepak apabila mereka turun padang menentang PDRM di Stadium MPPJ, malam esok. Namun, Nantha mahu kekal dalam dunia bola sepak Malaysia.

“Musim 2018 saya tetap berada dalam Liga Malaysia sebagai jurulatih bukan pemain. Namun saya belum pasti melatih pasukan mana. Mungkin bermula di peringkat bawah dulu atau skuad Piala Belia atau Presiden,” ujar Nanthakumar kepada Berita Harian.

“Banyak kenangan saya sebagai pemain yang tidak akan saya lupakan antaranya menjuarai Piala FAM bersama pasukan ini musim lalu. Selain juara Piala Malaysia serta pelbagai kejuaraan termasuk ketika bersama The Bos Gaurus, MPPJ, The Red Warriors, The Red Giants dan skuad ‘Hobin Jang Hobin,” tambah beliau.

Nanthakumar memulakan kariernya bersama pasukan Piala Presiden Perak pada tahun 1988, sebelum bermain untuk skuad senior Perak. Selain pasukan The Bos Gaurus, Nantha juga pernah bermain untuk skuad Selangor, Kelantan, MPPJ FC dan juga Negeri Sembilan. Nantha turut berjaya 37 penampilan untuk skuad kebangsaan Malaysia dari tahun 2002 hingga 2007.