Liga Super Malaysia

Penyokong Perak mahu Shahrom Kalam direhatkan

Penyokong pasukan Perak meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kapten pasukan tersebut, Shahrom Kalam yang sering melakukan kesilapan mudah sehingga menghukum pasukan sendiri. Menurut laman komuniti penyokong Perak, Seladang.Net, Shahrom Kalam selaku ketua pasukan Perak menjadi pemusnah segala harapan buat kem pasukan Perak untuk meraih tiga mata berharga dalam perlawanan Piala Malaysia menentang Felda United kelmarin. Kesilapan yang dilakukan beliau sebagai seorang pemain yang berpengalaman tidak sewajarnya berlaku.

“Rentak permainan pasukan Perak begitu hambar dan amat membosankan. Setiap gerakan serangan dengan mudah dipatahkan oleh pertahanan pasukan tuan rumah. Kelesuan di setiap wajah pemain terpancar jelas ekoran jadual perlawanan yang padat, namun ianya bukanlah alasan yang boleh diterima.”

“Kombinasi setiap pemain masih lagi tidak memuaskan, posisi tengah pasukan Perak juga bagaikan tidak memiliki idea untuk mendominasi setiap pergerakan. Kerapuhan di bahagian pertahanan sering menjadi persoalan.”

“Di separuh masa kedua perlawanan ada sedikit peningkatan dalam corak permainan namun ianya belum cukup untuk pasukan Perak menguasai keseluruhan posisi. Mujur Shahrul Mohd Saad yang bijak berada di kedudukan yang tepat untuk menerima umpanan bola dari Gilmar lantas tandukan beliau tepat ke arah penghujung gawang gol di minit yang ke 65.”

“Namun tragedi ngeri datang kembali apabila dalam keseronokkan meraih gol pembukaan, Shahrom Kalam sekali lagi gagal mengawal bola di kaki beliau lantas pantas disambar Zah Rahan, pemain import pasukan Felda yang terus melakukan larian solo dan menewaskan penjaga gol pasukan Perak di minit ke 67.”

“Walaupun pasukan Perak sekadar seri di Jengka ianya tidak menggugat kedudukan pasukan Perak untuk terus mengungguli carta Piala Malaysia dengan mengumpul 7 mata diekori pasukan Felda dengan 5 mata.” –  kenyataan daripada laman tersebut.

 

Ini adalah kali kedua dalam tempoh beberapa hari kapten Perak itu melakukan kesilapan hingga membawa padah kepada Perak. Kali pertama ialah ketika menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Ipoh pada Sabtu lalu menyebabkan Perak kecundang 0-1.

Situasi itu menyebabkan penyokong Perak menggesa Mehmet Durakovic merehatkan sementara kapten, Mohd Shahrom Kalam untuk menenangkan pemain itu yang melakukan kesilapan hingga merugikan pasukan.

“Demi kebaikan pemain itu rehatkanlah dia dulu untuk sementara supaya dia dapat mengurangkan tekanan,” kata seorang peminat yang hanya mahu dikenali Mohd Fadly.

“Tak salah direhatkan kalau selalu buat kesilapan mudah dalam game, rehat utk muhasabah diri dan tingkatkan prestasi itu normal. Takde istilah menang disanjung kalah dimaki. Hak penyokong bersuara kerana player pon dibayar gaji berpatutan untuk tugasan dia. Bolasepak hak milik rakyat,” kata peminat yang bernama Ben Arsh.

Seorang lagi peminat, Hairi Ahmad berkata, Shahrom perlu bertanggungjawab terhadap kesilapannya.

“Kasihan rakan sepasukan yang bertungkus lumus dan berhempas pulas untuk mencari kemenangan sedang dia pula bersikap alpa dan lalai menyebabkan pasukan dihukum,” katanya.

sumber: berita harian & seladang.net