Asia AFC U23 Championship

Kim Swee mahu pemain fokus pada perlawanan menentang Thailand

Selepas berjaya mengutip 3 mata penuh pada perlawanan pembukaan, skuad Malaysia kini kembali fokus pada perlawanan kedua menentang Thailand esok. Kemenangan ke atas Indonesia semalam merupakan pembakar semangat kepada anak buahnya untuk memburu tiket ke kejohanan AFC U23 di China tahun depan.

“Sudah tentu ini satu kemenangan yang cukup baik di mana kami berjaya memperoleh tiga mata penuh ke atas Indonesia.”

 “Apa yang boleh saya katakan, separuh masa pertama sudah tentu berbeza dengan separuh masa kedua. Sesuatu yang normal selepas kamu mendahului tiga gol, pasukan lawan pasti akan mengasak habis-habisan selepas itu untuk mencari gol,” kata Ong Kim Swee.

Gandingan Syafiq Ahmad, Muhammad Jafri Firdaus Chew dan N Thanabalan nyata gagal dikekang skuad Garuda yang cukup yakin untuk membenam skuad tempang Malaysia kerana kehilangan enam pemain tonggak serta hanya berlatih dalam tempoh singkat sebelum ke Bangkok.

 “Tapi para pemain saya dapat mengekalkan disiplin dengan cukup baik terutama ketika bertahan. Dan biarpun kami lebih bertahan pada separuh masa kedua, kami masih mampu mencipta beberapa peluang. Pemain gantian yang masuk pun memberikan sumbangan yang baik.

 “Kami tahu selepas ini kami akan bertemu pula Thailand pada Jumaat di mana saya percaya ia bukan satu perlawanan yang mudah selepas kami menghadapi Indonesia semalam”

Gambar kredit: FAM

 “Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah kembali fokus untuk perlawanan kedua dan harap pemain dapat melakukan pemulihan yang baik supaya mereka cukup cergas menjelang aksi bertemu Thailand nanti.

 “Sudah tentu untuk layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018, kami perlu mendapat sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan kedua dengan Thailand nanti.

 “Selepas itu baru kita fikirkan aksi terakhir bertemu Mongolia pada Ahad. Tapi kita juga tak boleh pandang rendah Mongolia biarpun pada awalnya mereka dianggap pasukan berkedudukan paling rendah dalam Kumpulan H ini.” ujarnya.