Malaysia Berita

De Paula kembali sertai Harimau Malaya, meskipun 0 minit permainan

Jurulatih negara, Kim Pan-gon membuat kejutan apabila menyenaraikan Guilherme De Paula yang akan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Khamis ini.

Ini meskipun pemain berusia 35 tahun dari Sao Paulo itu langsung tidak mempunyai minit permainan sepanjang musim ini, malah kali terakhir beraksi dengan skuad kebangsaan pada saingan Piala AFF Suzuki 2020, hujung tahun lalu.

Bukan itu sahaja, Mohamadou Sumareh juga dipanggil meskipun beliau hanya beraksi dua perlawanan sebagai pemain gantian musim ini.

Namun, Aidil Zafuan yang juga kurang minit permainan, apabila hanya beraksi dalam tiga perlawanan musim ini diletakkan dalam senarai bersedia.

Selain itu, 8 pemain baharu yang turut dipanggil kali ini ialah Matthew Davies, Afiq Fazail, Syihan Hazmi, Junior Eldstal, Norshahrul Idlan Talaha, Syahmi Safari, Darren Lok dan Nazmi Faiz Mansor.

Pan-gon mengekalkan 20 pemain daripada 25 pemain yang dibawa ke Singapura bagi dua perlawanan FAS Tri-Nations Series 2022 dua bulan lalu.

Luqman Hakim Shamsudin dan Quentin Cheng tidak dapat menyertai kem latihan pusat kerana kini bersama skuad B-23 di Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Daripada senarai itu, hanya seramai 23 pemain akan didaftarkan dalam senarai pendaftaran akhir bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 manakala baki 17 pemain lain tetap perlu bersedia untuk dipanggil sekiranya terdapat perubahan pada senarai akhir tersebut.

Kem itu diadakan bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Brunei pada 27 Mei 2022 dan Hong Kong pada 1 Jun 2022, seterusnya tiga perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan (8 Jun 2022), Bahrain (11 Jun 2022) dan Bangladesh (14 Jun 2022), kesemuanya akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Penjaga gol
Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid, Kalamullah Al-Hafiz, Syihan Hazmi

Pertahanan
Syahmi Safari, Matthew Davies, Shahrul Saad, Dion Cools, Dominic Tan, Junior Eldstal, Corbin Ong, Khair Jones, Khuzaimi Piee

Tengah
Safiq Rahim, Syamer Kutty, Nazmi Faiz, Afiq Fazail, R Kogileswaran, Faisal Halim, Azam Azih, Liridon Krasniqi

Sayap
Arif Aiman, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh

Penyerang
Guilherme de Paula, Darren Lok, Norshahrul Idlan Talaha, Syafiq Ahmad

Senarai Bersedia
Aidil Zafuan, Ramadhan Saifullah, Natxo Insa, Sharul Nazeem Zulpakar, Shahrel Fikri, Zhafri Yahya, A Selvan, Khatul Anuar, Rizal Ghazali, Shamie Iszuan, Arif Fadzilah Abu Bakar