Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Saya tidak mahu menyesal jika tidak panggil De Paula

Jurulatih negara, Kim Pan-gon mengakui beliau mahu melihat keupayaan semua pemain sebelum dipilih sertai skuad kebangsaan, termasuk yang jarang beraksi bersama pasukan masing-masing.

Ini setelah Guilherme De Paula dipanggil semula menyertai kem latihan pusat, meskipun tidak beraksi dalam sebarang perlawanan kompetitif bersama JDT musim ini.

Malah, kali terakhir penyerang berusia 35 tahun itu beraksi dengan skuad kebangsaan adalah dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 hujung tahun lalu.

“Saya faham ada beberapa kejutan dalam senarai nama ini,” katanya dalam sidang media semalam.

“Tapi bagi saya…saya tidak melihat dari aspek individu semata-mata, tetapi lebih melihat dari sudut berpasukan.

“Sebelum kita beraksi dalam kelayakan Piala Asia 2023, ini adalah panggilan kedua skuad negara…jadi saya tak nak menyesal, saya mahu melihat sendiri kekuatan yang kita ada daripada semua pemain yang kita ada.

“Saya nak menilai semua pemain ini dalam perlawanan persahabatan nanti, saya nak gunakan peluang ini di depan mata, melihat kemampuan 9 pemain baharu yang tidak dipanggil sebelum ini.”

Jelasnya lagi, beliau juga mahu melihat pemain mana yang benar-benar mempunyai kesungguhan dan daya saing yang tinggi.

“Saya mahukan suasana lebih berdaya saing dan sengit, saya panggil 29 pemain ketika ini dengan senarai akhir saya akan kecilkan kepada 23 pemain sahaja.

“Ia akan jadi saingan yang kompetitif dan saya suka wujudkan suasana ini, dan saya mahu lihat sendiri pemain membalasnya dengan prestasi dan sikap profesional mereka di atas padang.”

Setakat ini, katanya, beliau sudah meneliti semua perlawanan liga, dengan sebanyak 333 laporan prestasi individu pemain yang diterima daripada barisan kejurulatihan pasukan Liga Malaysia.

Skuad negara akan memulakan kem latihan pusat esok sebagai persiapan untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan berdepan Brunei dan Hong Kong.

Selepas itu, skuad kebangsaan akan beraksi dalam kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula 8 hingga 14 Jun ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Turkmenistan, Bangladesh dan Bahrain.