Liga Super Malaysia Berita

Presiden baharu PBNS mahu kembalikan zaman kegemilangan bola sepak Negeri Sembilan

Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri yang dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) baharu bagi tempoh 2018-2021 mahu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negeri itu.

Katanya, beliau bertekad akan menguruskan persatuan itu sebaik mungkin terutamanya dalam membangunkan dan memajukan lagi bola sepak negeri khususnya dalam saingan liga tahun hadapan.

“Saya bersama barisan kepemimpinan baharu PBNS akan berusaha sebaik mungkin untuk menguruskan persatuan ini ke arah memartabatkan lagi sukan bola sepak negeri.

“Fokus kami adalah untuk kembali meletakkan skuad Negeri Sembilan di landasan yang terbaik dan dihormati dalam persada bola sepak negara.

“Namun begitu, PBNS memerlukan sokongan padu pelbagai pihak dan saya yakin melalui kerjasama serta sokongan kerajaan negeri dan penaja, kita akan dapat mencapai apa juga yang disasarkan,” katanya.

Pada masa yang sama, Menteri Besar Aminuddin Harun berharap kepimpinan baharu PBNS dapat memilih barisan kejurulatihan yang lebih baik untuk musim akan datang.

Tunku Syed Razman mendapat sokongan penuh ahli gabungan persatuan selepas beliau menunjukkan minat mendalam dalam bola sepak selepas peletakan jawatan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, yang turut menang tanpa bertanding ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Razali Ab. Malik yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden PBNS.

Jawatan Naib Presiden PBNS pula menyaksikan saingan sengit apabila tujuh individu mengemukakan pencalonan dan tiga daripada terpilih iaitu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd. Ghani, pengurus skuad utama Negeri Sembilan, Datuk Mohamed Najeeb Abdullah dan Saaran Nadarajah.

Selain itu, lapan individu dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif PBNS iaitu Azmi Selamat, Lai Seng Ngeap, Bachik Osman, VK. Dana, Mohamad Zaki Mahussin, Mohamad Hanipah Abu Bakar, Mohd. Khairollah Abd. Latif dan S. Kalidasan.