Berita Malaysia

Thanabalan mempunyai misi yang penting untuk Piala Asia B-23 tahun di China

Pasukan Malaysia B-23 jelas mempunyai misi yang sukar di Piala Asia B-23 tahun depan, namun N. Thanabalan tekad mahu membantu Malaysia mencipta kejutan besar di China.

Pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu diundi ke dalam Kumpulan C bersama tiga gergasi bolasepak Asia Barat –  Arab Saudi, Jordan dan juga Iraq. Atas kertas, Malaysia sudah tentu akan menjadi pilihan ramai untuk disingkirkan dari kumpulan ini, namun Thanabalan mempunyai misi tersendiri untuk kejohanan tersebut.

“Di Bangkok dulu tiada yang meletakkan harapan tinggi untuk kita layak tapi kita tetap berjaya. Apa yang penting, pemain dapat melakukan persiapan lebih baik dan untuk saya sendiri mahu melihat kita layak sekurang-kurangnya sebagai pasukan kedua terbaik kumpulan,” kata Thanabalan kepada Berita Harian.

“Kalau dilihat pada undian itu memang sukar kerana Iraq, Jordan dan Arab Saudi pasukan dari negara Arab yang kuat ketika ini. Mereka ini sememangnya mempunyai kelebihan fizikal dan teknikal yang baik.

“Saya tak pernah bermain menentang Iraq dan Arab Saudi kecuali Jordan pada Kejohanan Piala Dubai 2017 di mana kami kalah 4-0. Tapi saya jangkakan kekuatan tiga pasukan ini lebih kurang sama, jadi kami kena bekerja lebih keras,” tambah Thanabalan.

Malaysia akan bertemu dengan Iraq pada 10hb Januari, sebelum bersaing dengan Jordan pada 13hb Januari dan Arab Saudi pada 16hb Januari. Hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan maju ke pusingan kalah mati.