Malaysia Berita

F:30 Pelan Hala Tuju Menjelang 2030

Pelan hala tuju bola sepak negara F:30, telah dilancarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam bagi tujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah gergasi bola sepak menjelang 2030.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan F:30 adalah sebuah pelan hala tuju negara bagi mencapai sebuah matlamat menjadikan Malaysia sebuah gergasi bola sepak.

Pelan 12 tahun ini mempunyai tiga fasa pembanggunan yang berbeza dimana fasa pertama (2019-2022) akan merangkumi pembangunan asas yang kukuh – pentadbiran, infrastruktur serta pembangunan modal insan.

Memasuki fasa kedua (2023-2026) pula pasukan Malaysia perlu mencapai pencapaian di peringkat Asia dan pada fasa ketiga (2027-2030) bertujuan untuk melahirkan sebuah pasukan yang mampu bersaing dengan nama-nama besar.

“Tempoh 12 tahun adalah sasaran yang realistik mengambil kira ekosistem bola sepak tempatan ketika ini.

“Teras kepada peta hala tuju ini ialah memperkasakan ahli gabungan dari sudut pembangunan modal insan dan pertandingan, pengenalan DNA bola sepak Malaysia menerusi kurikulum keju­rulatihan yang seragam serta pembangunan akar umbi yang mantap.

“Dalam peta hala tuju ini, FAM bercadang mewujudkan sekelompok pengadil profesional bertujuan meningkatkan mutu pengadilan,” katanya kepada Kosmo! semasa majlis pelancaran F:30 di Kuala Lumpur semalam.

Selain daripada Presiden FAM, majlis ini turut dihadiri oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, Presiden Konfedera­si Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa.