Manchester United bangkit dari ketinggalan apabila berjaya menewaskan Atalanta 3-2 dengan Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kemenangan di Old Trafford dalam saingan UEFA Champions League.
Namun, The Red Devils dikejutkan dengan dua gol bolos pada separuh masa pertama menerusi Mario Pasalic pada minit ke-15 dan Merih Demiral pada minit ke-28, menyebabkan pasukan Ole Gunnar Solskjaer berdepan kemungkinan untuk mencatatkan kekalahan kelima dalam lapan perlawanan.
Namun, barisan pemain United kembali di separuh masa kedua dengan semangat juang yang tinggi apabila Marcus Rashford menjaringkan gol pertama hasil hantaran Bruno Fernandes seawal minit ke-53 untuk merapatkan jurang.
Dengan 15 minit sebelum tamat perlawanan, kapten pasukan, Harry Maguire menjaringkan gol penyamaan yang mudah merembat masuk bola setelah langsung tidak dikawal oleh pertahanan lawan.
Selang enam minit kemudian, hantaran Luke Shaw ke dalam kotak penalti berjaya disambut oleh Ronaldo yang menanduk masuk bola melepasi penjaga gol Atalanta, sekali gus menjaringkan gol kemenangan, dengan keputusan 3-2 kekal hingga tamat perlawanan.
“Kami sudah biasa melakukannya (comeback) di kelab ini,” kata Solskjaer.
“Saya fikir pada separuh masa pertama kami bermain dengan baik, mencipta peluang, tapi tidak ambil peluang itu dengan baik. Perbezaannya adalah kualiti penyudah jauh lebih baik pada separuh masa kedua.”
Walaupun prestasi masih nampak agak goyah, Solskjaer tetap mempertahankan para pemainnya.
“Jangan tidak menghormati pemain,” tambah Solskjaer.
“Mereka bermain untuk Man Utd. Mereka adalah pemain paling beruntung di dunia kerana mereka boleh bermain untuk Man Utd.”
Man United kini pendahulu Kumpulan F dengan 6 mata selepas 3 perlawanan, diikuti dengan Atalanta dan Villareal yang berkongsi 4 mata dan Young Boys dengan tiga mata.