Liga Super Malaysia Berita

Baru naik Liga Super, Sarawak United berdepan risiko turun semula

CEO MFL, Stuart Ramalingam mengakui Sarawak United berdepan risiko turun liga semula, jika terbukti pasukan itu mempunyai masalah tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan.

Ini setelah pemain Sarawak United dilaporkan berdepan dengan tunggakan gaji dua bulan, meskipun ia dibayar secara ansuran.

“Ada dua perkara akan berlaku jika didapati memang ada tunggakan yang tidak dapat diselesaikan,” kata Stuart dalam sidang media di Wisma FAM hari ini.

“Antara keputusan yang boleh diambil adalah larangan perpindahan, diturunkan dari Liga Super ke Liga Premier atau paling serius lesen akan ditarik balik.

“Perkara ini akan dibuat selepas siasatan yang akan dibuat oleh unit pelesenan kelab dan dibawa semula First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL.”

Ketika ditanya pasukan mana yang bakal mengisi tempat Sarawak United dalam Liga Super musim depan jika dikenakan tindakan itu, Stuart berkata perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Kita bercakap mengenai senario luar biasa, jika perkara itu berlaku hanya Ahli Lembaga Pengarah MFL boleh buat keputusan mengenai penurunan dan kenaikan pasukan dalam liga.”