Liga Super Malaysia Berita

Kedah umum logo baharu, tapi macam logo lama

Kedah akhirnya mendedahkan logo baharu yang akan digunakan bagi musim Liga Malaysia musim 2021.

Anehnya, logo itu bukanlah yang dipilih daripada kalangan tiga logo yang memasuki peringkat akhir pertandingan mencipta logo sebaliknya menyerupai logo yang pernah dipakai oleh Kedah sejak 1988.

Logo itu diperkenalkan oleh Presiden Kedah FA, Sanusi Md Nor dalam sidang media yang disertai oleh Pengarah Darul Aman Sdn. Bhd, Khamal Ali dan Naib Presiden Kedah FA, Radhi Mohd Din.

Menurut FA Kedah, logo itu direka oleh Ku Basri Ku Halim dan menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan pas bermusim 2021.

“Sebanyak 900 penyertaan penjenamaan logo telah diterima daripada peserta dari kalangan peminat dan pencipta logo tempatan.

“Selepas melalui proses tapisan, hanya 316 penyertaan yang telah diterima untuk dipertimbangkan oleh panel pemilih dan pihak pengurusan Kedah FA dan Kedah Darul Aman FC.

“Daripada 316 penyertaan, 20 logo telah disenarai pendek oleh jawatankuasa pemilihan logo seterusnya dibawa ke pengurusan tertinggi pengurusan untuk keputusan akhir.”

Bagaimanapun, ada netizen yang berpendapat logo itu melanggar syarat pertandingan tersebut.

Dalam peraturan pertandingan itu, pereka digalakkan untuk melakukan tinjauan agar rekaan vektor logo tidak menyerupai mana-mana logo kelab sukan di dunia melalui carian pelayar internet dan sebagainya.

“Logo hendaklah berdasarkan inspirasi tulen pencipta untuk mengelakkan pertindihan dan perlanggaran hak cipta.

“Penyertaan akan terbatal jika didapati hasil karya tidak asli dan ciplak.”