Malaysia Berita

Skuad kebangsaan adakan kem latihan pusat pada bulan Januari

Skuad kebangsaan Malaysia dijangka menjalani kem latihan pusat pada 15 hingga 26 Januari 2021.

Ini kali pertama pemain kebangsaan dapat berkumpul selepas setahun tidak berlatih bersama kerana wabak COVID-19.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam ketika menghadiri Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-4 MFL hari ini.

“Latihan pusat skuad kebangsaan akan diadakan pada 15 hingga 26 Januari dan penstrukturan kem tersebut sedang diteliti oleh jurulatih Tan.

“Dalam kem tersebut, coach Tan akan mengambil peluang mencuba nama-nama baru untuk tengok kesesuaian individu dalam percaturan beliau untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Dia mungkin tidak akan senaraikan seluruh pasukan asalnya tetapi separuh pasukan sebelum ini dan separuh lagi nama baru.

“Bulan Januari penting untuk sesuaikan pemain baru dan lama, dan juga sekurang-kurangnya ada kem latihan pusat sebelum bulan Mac dan mungkin tiada kem panjang sangat.”

Bagaimanapun, Stuart berkata FAM berdepan kesukaran untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada bulan Januari.

“Malangnya tiada perlawanan persahabatan pada bulan Januari, hanya kem. Saya sudah berbual dengan setiausaha agung negara lain jika ada peluang untuk adakan perlawanan persahabatan, tetapi memandangkan isu kuarantin dan isu untuk perjalanan kita mungkin tidak dapat adakan perlawanan.

“SOP tempatan mungkin boleh diselesaikan, contohnya Singapura boleh datang sini kalau minta kebenaran dari MKN, tetapi mungkin dia tak boleh balik, kalau dia balik dia kena kuarantin, jadi mungkin dia tak nak. Dengan kerumitan Covid-19, kita mungkin tak dapat adakan.

“Jadi kita akan main pada bulan Mac iaitu ke Bahrain dulu sebelum ke UAE dan selepas itu menghadapi Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil.”

Stuart juga menjelaskan perlawanan persahabatan tidak dapat diadakan pada bulan Februari kerana faktor Liga Malaysia yang bermula pada bulan itu.

“Januari dan Februari tidak ada kerana liga bermula Februari, kerana persiapan individu pemain kebangsaan bersama kelab adalah penting untuk kecergasan dan conditioning.”