Liga Super Malaysia Berita

MFL mohon 10 peratus kemasukan penonton ke stadium

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa pihaknya meminta kerajaan supaya mempertimbangkan kemasukan sebanyak 10 peratus penonton di stadium bagi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Beliau berkata, perkara itu telah dibawakan kepada Kementerian Belia dan Sukan dan diberi perhatian oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami meminta supaya MKN membenarkan kemasukan penonton berskala kecil dan perkara ini dibawa kepada Menteri Belia dan Sukan dengan 10 peratus untuk kemasukan.

“Kami juga sudah merancang beberapa SOP untuk penonton termasuklah ‘test match’, tetapi akhirnya yang berkuasa menentukan bola sepak boleh main atau tidak adalah MKN,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-4 MFL hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, Hamidin berkata rakan kongsi bersetuju untuk meminda perlembagaan MFL dengan menetapkan jawatan presiden kini boleh diisi oleh sesiapa sahaja yang berkelayakan.

“Sebelum ini, individu dari Lembaga Pengarah MFL yang sudah berkhidmat 4 tahun sahaja layak dilantik sebagai presiden.

“Tetapi kini kita nak beri peluang kepada sesiapa sahaja yang layak, lagipun saya tidak akan memegang jawatan ini selama-lamanya, jadi apa salahnya beri peluang kepada mereka yang boleh memajukan bola sepak negara.”

Ini merupakan pindaan kedua terhadap jawatan tersebut selepas jawatan presiden diperkenalkan bagi menggantikan jawatan pengerusi MFL yang pernah disandang oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dari segi penajaan liga, Hamidin berkata pihaknya sedang berunding dengan AirAsia dan hampir pasti penajaan itu akan bersambung pada musim depan.

“Selain TM dan Unifi, saya sudah jumpa dengan Tan Sri Tony Fernandes dan dia sahkan akan perbaharui penajaan dan mungkin ada satu atau dua lagi penambahan penajaan dari anak syarikat AirAsia. Ini kita akan maklumkan lebih lanjut.

“Ini satu perkara baik, kita pun sedang tunggu CIMB Bank. Kalau dapat bank lain, apa salahnya, tapi memang kita nak buat, harapnya dalam Januari dan Februari kita akan dapat, walaupun kekangan COVID-19 ini memberi kesan kepada kita semua termasuklah kerajaan, jadi kita kena berprihatin dan tidak boleh meminta terlalu banyak.

“Kita juga sedang berunding dengan banyak pihak. Ada satu pihak memang berminat untuk menaja salah satu pertandingan seperti Piala FA, Liga Super atau Liga Premier tetapi mereka mahu sedikit penyokong dapat masuk ke stadium.

“Selain kemeriahan, ada juga penajaan. Semua pasukan juga bersetuju kemasukan penyokong dapat bantu kewangan mereka. Walaupun ada yang minta nakkan 40 hingga 50 peratus, saya kata kita cuba 10 peratus. Kita kena prihatin juga dengan masalah COVID-19, lepas keadaan okey dalam dua tiga bulan, kita boleh buat permohonan lagi. Segalanya MKN yang akan putuskan dan mereka akan melihat dari semua sudut.”