Liga Super Malaysia Berita

Perak terima surat tuntutan saman hampir RM500,000

Perak disahkan menerima surat tuntutan berjumlah hampir RM500,000 bertarikh 18 Jun lalu yang dikemukakan oleh pemain Korea Selatan, Jeon hyo-seok yang datang untuk sesi uji bersama Perak pada musim 2019.

Menurut laporan dari Utusan, Hyo-seok membuat tuntutan itu selepas mendakwa telah menandatangani kontrak dengan pasukan Perak tetapi ia dibatalkan selepas pemain itu didapati mengalami kecederaan.

Disebabkan itu, pemain itu membawa kes kepada FIFA dan badan induk bola sepak dunia itu menuntut PAFA supaya membayar tuntutan tersebut.

Bagaimanapun, Utusan melaporkan bahawa PAFA sebenarnya tidak memeterai sebarang kontrak dengan Hyo-seok selepas mendapati dia mengalami kecederaan.

“Ini kes lama, dia cuba menipu PAFA dengan menyembunyikan kecederaan,” kata sumber kepada Utusan.

“Masa datang, dia dah cedera, sebab itu dia berdalih setiap kali disuruh berlatih.

“Apabila PAFA membuat pemeriksaan rapi melalui pakar, dia sebenarnya membawa kecederaan lama, justeru PAFA tidak tandatangan sebarang kontrak dengannya.

“Sebaliknya pemain itu sendiri menandatangani salinan kontrak yang diberikan untuk rujukan dan kemudian menggunakanya untuk membuat tuntutan itu.”

Kes itu sepatutnya dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland selepas PAFA mengemukakan hujah melalui afidavit tetapi tidak dapat dibicarakan gara-gara penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

PAFA ketika itu diterajui oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan Datuk Adly Shah Ahmad Tah sebagai Timbalan Presiden yang juga pengurus pasukan Perak dan bertanggungjawab sepenuhnya mengenai pengambilan pemain.